Renjatan elektrik dalam bas: Keluarga reda, enggan perbesar isu

Renjatan elektrik dalam bas: Keluarga reda, enggan perbesar isu

SALMIAH menunjukkan gambar cucunya, Mohamad Nur Asymawi yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mesra, Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : “Arwah sempat bergurau. Katanya, mahu berjalan jauh. Namun, saya tidak sangka gurauannya itu benar-benar berlaku.”

Itu kata Salmiah Humzah, 82, nenek kepada Allahyarham Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, remaja yang maut akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbit dalam sebuah bas ekspres di terminal Penang Sentral, kelmarin.

Kata Salmiah, kali terakhir dia bertemu dengan cucunya itu ialah sebelum arwah keluar dari rumah pada hari kejadian.

“Bila ditanya mahu ke mana, arwah cuma beritahu, mahu berjalan jauh. Tetapi, kami anggap ia normal kerana dia (Mohamad Nur Asymawi) memang suka bergurau.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 9 malam, kami sekeluarga menerima panggilan daripada sepupunya yang memaklumkan bahawa cucu saya itu telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Kampung Mesra, Bagan Lalang di sini, hari ini.

Tambah Salmiah, cucunya yang juga anak sulung daripada empat beradik itu baru tiga bulan bekerja di sebuah restoran makanan segera berhampiran kediaman mereka.

“Walaupun amat sedih, namun, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya. Kami juga berharap agar syarikat bas ekspres itu lebih berhati-hati dalam aspek penyelenggaraan supaya tragedi seperti ini tidak berulang.

“Kalau boleh, kami juga tidak mahu memperbesarkan isu ini. Namun, kami berharap agar ia boleh dijadikan iktibar oleh semua pihak,” katanya yang memberitahu, Mohamad Nor Asymawi dikenali sebagai seorang individu yang mudah mesra dan disenangi jiran tetangga.

Difahamkan, jenazah remaja itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Puyu di sini, selepas Asar, semalam.

Dalam kejadian Jumaat lepas, mangsa dilaporkan maut dengan kesan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika berada dalam sebuah bas yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN