ISKANDAR PUTERI: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditahan polis kerana dipercayai membaling bom petrol mengakibatkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya, Skudai, dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, remaja berkenaan melakukan perbuatan itu selepas menerima upah daripada sindiket along.
Menurut beliau, polis turut merampas dua notis ugutan yang tertera nombor telefon Singapura dan ayat bertulis ‘Owe money pay today is a warning if you still don’t want reply I will come burn’.
“Mangsa seorang lelaki berusia 39 tahun membuat laporan polis mengatakan kereta yang diparkir dalam pagar rumah terbakar.
“Berdasarkan laporan dan siasatan dijalankan, polis telah menahan suspek terbabit pada pukul 5.30 pagi. Turut dirampas dua botol kaca serta satu tong petrol,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 2 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama. – UTUSAN