BUTTERWORTH: Seorang remaja maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas pada soket di dalam sebuah bas ekspres di terminal Penang Sentral di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.40 petang.
Menurut beliau, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Hasil temu bual, saksi yang juga pemandu bas memberitahu, mangsa telah menaiki bas ekspres untuk ke KL Sentral.
“Pada jam lebih kurang 6.10 petang, salah seorang daripada penumpang bagaimanapun telah beritahu kepada pemandu tersebut bahawa mangsa telah menjerit dalam keadaan mulut berbuih sebelum menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal.
“Pemeriksaan awal polis mendapati, terdapat kesan melecur di jari sebelah kiri disyaki kesan renjatan elektrik semasa mangsa mengecas telefon bimbitnya dan penghujung kabel cair selain peranti tersebut dalam keadaan panas,” katanya di sini, hari ini.
Kata Anuar, hasil bedah siasat mengesahkan bahawa kematian mangsa disebabkan oleh renjatan elektrik dan kejadian itu tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 17 saat yang memaparkan mangsa diberikan rawatan awal di dalam bas ekspres terbabit.- UTUSAN