MUAR: Seorang remaja lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) autisme ditemukan lemas di Jeti Marina Bay, di sini pagi ini selepas dilaporkan hilang sejak kelmarin. Mayat Thakif Markisa ditemukan terapung oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berkenaan pada pukul 3.25 petang semalam.
“Bapa mangsa seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun telah membuat laporan mengenai anak lelakinya berumur 14 tahun, seorang kanak-kanak hyper active autisme didapati telah keluar dari rumahnya di Bakri.
“Dia menyatakan anak lelakinya itu sering keluar dari rumah tanpa pengetahuannya. Bapa mangsa yang juga merupakan seorang pemegang kad OKU penglihatan memaklumkan kali terakhir berjumpa dengan anaknya itu pada 2 November kira-kira pukul 11.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasil pemeriksaan dan siasatan pihak polis mendapati mayat yang ditemukan menunjukkan persamaan dari pakaian terakhir yang dipakai remaja tersebut. – UTUSAN