BALIK PULAU: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian rogol secara bergilir-gilir terhadap seorang remaja perempuan di sebuah rumah di Jalan Sungai Ara, di sini kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku antara pukul 2 hingga 4 pagi itu, mangsa yang berusia 14 tahun disyaki telah dirogol secara bergilir-gilir oleh suspek yang berusia antara 20 hingga 24 tahun.
Difahamkan, remaja perempuan itu masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Sungai Nibong dan kejadian rogol bergilir-gilir tersebut berlaku di rumah yang disewa suspek.
Malah, selepas kejadian rogol tersebut berlaku, mangsa juga telah dibawa oleh kesemua suspek untuk menyaksikan satu perlumbaan haram di kawasan Bayan Baru dan hanya dihantar pulang ke rumahnya kira-kira pukul 5 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, keempat-empat lelaki terbabit yang juga warga tempatan ditahan selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Difahamkan, mangsa mula mengenali suspek pertama pada bulan April lalu setelah diperkenalkan oleh seorang kawan kepada suspek pertama.
“Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak mengenali suspek-suspek yang lain. Dia (mangsa) seterusnya telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Menurut Sazalee, kesemua suspek bukan berasal dari Pulau Pinang dan mangsa dikatakan hanya mengenali suspek pertama iaitu lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai teman lelaki mangsa.
Tambah beliau, suspek-suspek itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan. – UTUSAN