PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain melawat beberapa pulau di Semporna, Sabah bagi meninjau penugasan dan keadaan kemudahan di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA).
Turut hadir dalam lawatan itu adalah Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohd. Rodhi; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Timbalan Pengarah KDNKA (WCB/PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari; Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim.
Program Razarudin bersama delegasi itu dimulakan dengan kunjungan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna yang disambut Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias bersama Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd. Sabri Zainol.
Razarudin kemudian diberikan taklimat oleh Mohd. Sabri mengenai kekuatan anggota dan penugasan rutin yang dilaksanakan di IPD.
Selepas taklimat, program diteruskan dengan lawatan ke Batalion 22 Kunak terletak bersebelahan IPD Semporna disambut Pegawai Pemerintah (PP) batalion, Superintenden Norman Chendan Philip Picha Rumpang.
Lawatan ke batalion itu bagi melihat pejabat baharu dan kediaman yang sedang dibaik pulih untuk keselesaan warga batalion.
Beliau bersama delegasi meneruskan sesi lawatan ke Pos PGA Pulau Mataking, Batalion 14 Tawau dengan menaiki aset bot milik Pasukan Polis Marin (PPM) yang mengambil masa kira-kira 45 minit.
Kehadiran beliau di pos gabungan pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu disambut PP Markas Taktikal Kompeni, Asisten Superintenden Ibrahim Mastar bersama 48 pegawai dan anggota polis serta tentera yang ditugaskan di pulau itu.
Razarudin meluangkan masa kira-kira setengah jam di pulau berkenaan sebelum meneruskan program ke Pulau Mabul bagi meninjau keadaan Pos Platun TAK Batalion 22 Kunak.
Sepanjang berada di pulau itu, beliau diberi taklimat oleh PP Platun TAK Pulau Mabul, Inspektor Herwan Shah Abdullah Mohamad berkenaan situasi semasa keselamatan dan prasarana yang disediakan bagi memudahkan penugasan anggota PGA.
Secara keseluruhan, lawatan pada hari ini memberi tumpuan kepada peranan strategik PPM dan PGA dalam mengawal keselamatan di kawasan sempadan pantai timur Sabah yang sering dianggap sebagai zon berisiko tinggi.
Lawatan itu juga bagi menilai keberkesanan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan oleh PDRM dan ATM terutama dalam menangani isu pencerobohan, penyeludupan serta ancaman jenayah rentas sempadan yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
Sementara itu, bagi menghargai jasa pegawai dan anggota PGA yang menjaga keamanan serta keselamatan perairan di pulau-pulau itu, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman dengan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah dan ahli Perkep negeri bersama-sama menyediakan juadah untuk minum petang dan makan malam kepada petugas. – UTUSAN