PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan Felcra Bhd. dalam unit amanah, secepat mungkin.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan.
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September lalu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie daripada tiga tuduhan rasuah itu.
“Dapatan Mahkamah Sesyen (yang memanggil pasangan itu membela diri) tidak boleh dirayu memandangkan ia bukanlah satu keputusan akhir yang membolehkan satu semakan dibuat. Proses perbicaraan perlu diteruskan bagi membolehkan responden mengemukakan pembelaan mereka.
“Permohonan responden (Bung Moktar dan Zizie) sebenarnya adalah satu permohonan interlokutori yang berselindung di sebalik permohonan semakan.
“Keputusan Mahkamah Sesyen untuk memanggil responden membela diri hanya boleh dicabar selepas tamat perbicaraan pada peringkat rayuan. Kami (Mahkamah Rayuan) juga mendapati tindakan Mahkamah Tinggi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen adalah pramatang,” kata Hakim Mohamed Zaini ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit.
Selain itu, Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya turut menyifatkan tindakan membenarkan permohonan semakan bagi keputusan memanggil seseorang untuk membela diri atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka sebagai mengganggu proses perbicaraan.
“Membenarkan permohonan semakan atas keputusan membela diri mengganggu perbicaraan, menimbulkan situasi yang menjengkelkan yang mana mahkamah bicara perlu menurut terhadap permohonan-permohonan penangguhan bagi membolehkan pihak-pihak terlibat merayu terhadap keputusan yang dibuat sepanjang perbicaraan berjalan.
“Ini akan mengganggu proses perbicaraan, membazirkan masa mahkamah dan dana awam.
“Oleh itu, keputusan Mahkamah Sesyen dikembalikan dan kami mengarahkan agar kes ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk sambung bicara tanpa lengah lagi,” kata hakim itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Sementara itu, Bung Moktar ketika ditemui media selepas tamat prosiding menyatakan `kesediannya’ untuk kembali turun naik mahkamah.
“Kalau itu tuntutan (perintah mahkamah) kenalah. Insyallah, tiada masalah,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu. Isterinya, Zizie Izette hanya tersenyum.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette, 47, di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Pertuduhan ketiga Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.
Dalam pada itu Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) yang membawa hukuman yang sama. – UTUSAN