PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum mempunyai maklumat jelas mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa terlibat dalam klip audio yang membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, setakat ini, tiada aduan rasmi dibuat oleh mana-mana individu termasuk seorang pemberi maklumat yang mendakwa mempunyai rakaman itu.
Menurut beliau, peguam kepada pemberi maklumat berkenaan disahkan bertemu pegawai agensi ini pada 30 Oktober lalu dan dalam pertemuan itu antara lain mahu pegawai SPRM menandatangani persetujuan menyatakan anak guamnya tidak akan disiasat.
“Ketika pertemuan pegawai SPRM dan peguam kepada pemberi maklumat itu turut memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat di mana beberapa orang didengar sedang berbincang tentang wang.
“Namun peguam itu tidak memaklumkan siapa ADUN yang terlibat sebaliknya mengulangi sedia untuk memberikan sejumlah bukti jika SPRM menandatangani persetujuan menyatakan anak guamnya tidak akan diletakkan di bawah siasatan,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pegawai SPRM terlibat tidak setuju untuk menandatangani persetujuan itu kerana ia bukan prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi SPRM.
Beliau berkata, pada pertemuan itu juga, peguam berkenaan turut menyatakan dia tidak percaya mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Memandangkan dia yakin akta itu tidak memadai dan tidak memberikan sebarang jaminan kepada anak guamnya akan dilindungi secara wajar.
“SPRM tidak boleh memberikan sebarang jaminan imuniti bertulis terhadap mana-mana individu itu tidak akan disiasat atau didakwa sekiranya mereka memberi maklumat dan terlibat dalam perlakukan rasuah,” jelasnya.
Azam menegaskan, tindakan SPRM berlandaskan undang-undang agar sebarang laporan ditangani secara saksama dan profesional dengan sebarang dakwaan salah laku akan disiasat secara terperinci tanpa memihak kepada mana-mana individu.
Justeru, Azam menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan rasmi kepada SPRM bagi memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menyatakan individu yang memiliki maklumat perlu mendedahkan perlakuan salah dahulu, seperti ditakrif undang-undang, sebelum proses perlindungan dapat dimulakan,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan “rasuah” bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.- UTUSAN