KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad terus mengekalkan standard antarabangsa dalam sektor pengangkutan awam menerusi Rapid Bus dalam platform International Bus Benchmarking Group (IBBG).
Platform itu menyediakan pengukuran prestasi bagi operator pengangkutan awam global dari aspek keselamatan dan kecekapan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, penyertaan dalam IBBG bukan sahaja memberi kelebihan dari segi peningkatan keselamatan, tetapi turut menekankan aspek kecekapan operasi.
Menurut beliau, prestasi Rapid Bus kini di tahap melebihi jangkaan dan merupakan antara 16 syarikat global yang memiliki piawaian tinggi.
“Kami melatih kapten bas untuk menjalani program simulasi sebelum mereka bertugas memandu bas di jalan raya. Simulasi ini memberi latihan intensif dengan pelbagai suasana dan berperingkat kepada pemandu bas.
“Selain itu, selepas dua tahun, pemandu bas yang lama juga akan dipanggil untuk penilaian semula bagi memastikan mereka kekal efisien dalam melaksanakan tugas dengan selamat,” katanya ketika ditemui di Kompleks Depoh Rapid Bus Cheras Selatan, hari ini.
Mengulas lanjut, Yazurin berkata, antara inisiatif lain untuk mengekalkan tahap prestasi yang tinggi di peringkat global adalah membaik pulih aplikasi PULSE untuk meningkatkan kemudahan dan keselesaan orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Menurutnya, aplikasi PULSE telah menjadi platform utama bagi pengguna untuk menjejaki anggaran masa tiba (ETA) dan masa berlepas (ETD) bagi perkhidmatan MRT, LRT, KL Monorail, Sunway BRT, serta bas di bawah Rapid Penang, Rapid Kuantan, dan Rapid KL, termasuk bas perantara MRT.
“Untuk mengatasi masalah di mana pengguna terlepas bas, aplikasi PULSE telah dipertingkatkan setelah hampir empat tahun dilancarkan.
“Antara muka baharu aplikasi ini adalah lebih mesra pengguna dan memberikan anggaran masa yang lebih tepat. Jadi, pengguna boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien,” jelasnya.
Tambah Yazurin, Rapid Bus turut bersedia ke arah masa depan dengan memperkenalkan bas elektrik (EV) yang dikendalikan tanpa pemandu bas sebagai usaha menangani kos tenaga kerja yang semakin meningkat.
“Perkhidmatan ini sedang diuji di laluan BRT Sunway menggunakan bas EV dan tanpa pemandu. Namun, ia masih memerlukan ujian yang menyeluruh sebelum dapat digunakan di kawasan bandar dan lebuh raya,” ujarnya. – UTUSAN