PETALING JAYA: Kerajaan menyatakan pendirian tegas termasuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu rasuah terutama kepada mereka yang mahu merampas kekayaan rakyat.
Justeru Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim berharap, rakyat Malaysia termasuk yang berada di luar negara menyokong segala usaha baik dilaksanakan kerajaan.
“Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dengan isu rasuah dan mana-mana pihak yang merobek kekayaan rakyat.
“Saya maklumkan kerajaan kini punyai pasukan mantap dan akan bekerja keras melaksanakan dasar serta polisi yang menguntungkan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam majlis makan malam yang disertai kira-kira 200 diaspora Malaysia dan rakan-rakan Malaysia di Rio de Janeiro, Brazil semalam, dan dikongsikan dalam media sosial beliau.
Anwar kini berada di Brazil sempena lawatan rasmi dan menghadiri Sidang Kemuncak G20. Malaysia bersama 16 lagi negara termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam antara negara jemputan G20.
G20 terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), dan Kesatuan Afrika (AU).
Malaysia dan Brazil meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik tahun ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan kesungguhan kerajaan Madani untuk membawa perubahan yang besar kepada negara.
Malah katanya, siri lawatan ke beberapa buah negara turut memberi impak positif, bukan hanya mengukuhkan hubungan dua hala tetapi juga limpahan positif kepada ekonomi negara dan rakyat Malaysia.
“Saya turut menyentuh siri lawatan ke beberapa negara memberi impak positif, bukan hanya mengukuhkan hubungan dua hala tetapi juga limpahan positif kepada ekonomi negara dan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN