KUALA LUMPUR: Rakyat perlu berani menegur kekurangan dan kelemahan menteri dalam usaha membawa negara ini ke arah kesejahteraan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan sebahagian pendekatan ke arah prestasi yang lebih baik dalam keseluruhan aspek terutama pembangunan dan kesejahteraan negara.
“Apa-apa kelemahan dan kekurangan menteri-menteri boleh beritahu pada mereka (sendiri) dan kita akan perbaiki.
“Ini kerana semangat kita adalah (menuju) dari yang gelap kepada yang cerah dan daripada kegelapan kepada cahaya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani anjuran Kementerian Digital di Sentul Depot di sini, semalam.
Hampir 5,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan agama hadir memeriahkan sambutan tersebut yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Anwar dalam masa sama turut berharap makna sebenar perayaan Deepavali perlu dihayati oleh semua masyarakat dan bukan hanya kepada penganut Hindu semata-mata.
Perdana Menteri berkata, pengertian Deepavali atau pesta cahaya perlu diterjemah kepada kesejahteraan secara bersama dengan meneruskan perjuangan ke arah kebaikan dan keadilan demi masa depan lebih baik.
“Kita tahu semangat Deepavali atau festival cahaya iaitu menyemarakkan lampu cahaya menggantilan kegelapan.
“Jadi, ada sejarahnya yang rakyat Malaysia semua perlu tahu bahawa sambutan ini adalah tujuannya untuk menyatakan bahawa hidup ini lebih daripada sekadar makan dan minum,” katanya.
Perdana Menteri turut memenuhi jemputan rumah terbuka anjuran Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran sempena sambutan perayaan Deepavali, semalam.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berterima kasih kepada Vigneswaran yang memberi layanan baik termasuk menyediakan menu yang lazat.
“Semoga sambutan Deepavali ini melimpahkan kebaikan buat keluarga saudara Vigneswaran dan teman-teman serta semua yang menyambut perayaan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. – UTUSAN