KOTA KINABALU: “Perbualan saya dalam rakaman yang disunting dan disebar dengan niat jahat itu dilakukan secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.”
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd. Arsad Bistari yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah susulan rakaman video memaparkan perbualannya dengan seorang lelaki yang didedahkan sebuah portal berita baru-baru ini.
Katanya, beliau mengesyaki individu yang bertemu dengannya dalam rakaman video itu mempunyai niat yang tidak jelas dan atas tanggapan itu, beliau berbual secara sarkastik dan tidak formal.
Beliau berkata, komunikasi bersifat ringan itu dimanipulasikan untuk memberi gambaran negatif terhadapnya selaku ADUN.
Mohd. Arsad berkata, tuduhan bahawa beliau menerima komisen adalah satu fitnah yang tidak berasas dan direka untuk merosakkan reputasinya di mata masyarakat.
“Adalah tidak wajar untuk merumuskan perbualan itu merupakan pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang.
“Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya menghormati kedudukan serta budi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
“Tuduhan bahawa saya menyalahkan mereka atau menyatakan projek saya ‘dihalang’ adalah tidak benar dan sengaja diputar belit termasuk dakwaan penglibatan ADUN Kawang, Pantai Dalit, Tanjung Batu dan Labuk dalam perbualan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata beliau, apa yang diperkatakan sebenarnya merujuk kepada cabaran dalam melaksanakan projek besar di Sabah kerana proses kelulusan projek melibatkan banyak pihak dan tahap prosedur yang tinggi.
“Saya bersedia dan komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain sekiranya diperlukan.
“Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk meneliti segala tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap individu atau pihak yang masih menyebarkan maklumat yang salah atau memutarbelitkan kenyataan saya.
“Laporan polis juga telah dibuat bagi tindakan selanjutnya. Saya juga menggesa media dan semua pihak agar bersikap objektif dan adil dalam melaporkan isu ini,” katanya. – UTUSAN