Raja Perlis mahu kerajaan negeri lebih agresif agar tidak ketinggalan - Utusan Malaysia

Raja Perlis mahu kerajaan negeri lebih agresif agar tidak ketinggalan

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail pada Majlis Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah AMMK Negeri Perlis di Istana Arau di Arau, Perlis hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menggesa kerajaan negeri lebih agresif dan pantas dalam usaha mengejar kemajuan serta pembangunan agar tidak ketinggalan dengan negeri-negeri lain.

Titah baginda, Perlis mempunyai kelebihan memandangkan sainya lebih kecil untuk bergerak lebih lancar dan pantas berbanding negeri-negeri lain yang lebih besar.

Dalam masa sama, baginda juga menzahirkan kebimbangan negeri ini akan ketinggalan jauh ke belakang sekiranya masih bergerak perlahan.

“Saya nampak walaupun kita telah bergerak ke hadapan dan mempunyai perkembangan namun kita masih perlahan berbanding negeri-negeri lain. Saya mahu usaha ini dipercepatkan. Tidak munasabah negeri kecil seperti Perlis ketinggalan di belakang. Sebenarnya, negeri kecil seperti kita mampu bergerak lebih lancar dan lebih laju berbanding negeri lain.

“Contohnya seperti rumah kita sendiri, kalau nak buat sesuatu itu senang, tapi untuk buat kerja yang sama bagi sebuah kampung itu bukan tak boleh, namun susah sikit dan begitu juga bandar, lagi susah.

“Kita (Perlis) kecil, sepatutnya cepat membangun kerana kita boleh dapat persetujuan dan memberikan informasi-informasi kepada orang yang terhad dalam negeri kita,” titah baginda pada majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatankuasa Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri di Bilik Hijau, Istana Arau di sini hari ini.

Titah baginda lagi, setiap wakil dan pimpinan negeri ini perlu bekerja demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Ini supaya setiap rakyat boleh mendapat faedah dan manfaat daripada apa yang berlaku dalam negeri ini. Utamakan rakyat lebih, barulah kita betul jadi wakil rakyat. Kalau kita dahulukan diri kita bermakna kita bukan wakil rakyat, kita wakil diri sendiri,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap agar wakil rakyat atau Exco kerajaan negeri dapat bertemu pegawai-pegawai atasan kerajaan di Kuala Lumpur sekiranya berpeluang bagi menyelesaikan sesuatu isu yang dihadapi.

Titah baginda, walaupun kerajaan negeri dan pusat adalah berbeza, namun tidak salah sekiranya barisan Exco atau wakil rakyat berjumpa pihak terlibat di sana bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan.

“Kita negeri kecil, kita pergi jumpa mereka tak salah walaupun kerajaan lain, tak mengapa. Kita minta mereka terpaksa bagi, jangan minta tiga empat perkara bila diselesaikan dah puas hati, tak boleh.

“Minta 10 dia bagi tiga, minta lagi. Negeri lain banyak buat macam itu. Kita kena banyak belajar dari kejayaan negeri-negeri lain,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya