Raja ilmuwan memerintah penuh hikmah - Utusan Malaysia

Raja ilmuwan memerintah penuh hikmah

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah membalas tabik hormat kepada perbarisan kawalan kehormat PDRM pada majlis sambutan Hari Pahlawan 2024 peringkat negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bukan sahaja dikenali sebagai raja ilmuwan, tetapi sultan yang mesra rakyat, sangat prihatin serta sering melontarkan pandangan yang bernas terhadap isu-isu yang dekat dengan rakyat.

Keprihatinan baginda mencetuskan idea-idea baharu dalam pelbagai aspek menjadi inspirasi dan panduan kepada pemerintah untuk memajukan negeri agar pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat.

Isu ekonomi, pendidikan, perumahan rakyat, kelestarian alam sekitar, jaminan bekalan dan keselamatan makanan antara perkara yang sering dititahkan baginda supaya diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

Lantaran itu tidak hairan titah baginda sentiasa dinanti-nantikan kerana lontaran pandangan tentang pembangunan Perak secara keseluruhan agar dapat terus kepada rakyat dan dinikmati oleh mereka.

Baginda kerap memberi penekanan terhadap sekuriti makanan, tentang betapa pentingnya keselamatan bekalan makanan untuk negeri dan rakyat seperti yang baginda titahkan pada Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Ogos 2021.

Baginda mahu pemerintah memberikan perhatian serius terhadap ancaman keselamatan bekalan makanan.

Titah baginda, ini boleh dilakukan dengan mengaktifkan sektor-sektor pertanian, ternakan dan perikanan dan diperkenalkan dengan budaya kerja dan budaya pengeluaran baharu, dengan menyuntik kaedah-kaedah dan mekanisme moden supaya produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan.

Baginda terbukti prihatin terhadap cabaran ancaman keselamatan bekalan makanan semasa Covid-19,

Ini dititahkan baginda semasa Perasmian Pembukaan Sidang DUN pada 28 Mac 2022 bahawa pandemik Covid-19 bencana alam, inflasi dan terkini peperangan mengancam jaminan bekalan makanan dunia.

Baginda memuji usaha kerajaan yang melaksanakan pelbagai tindakan bersepadu bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan melalui usaha memacu pemodenan subsektor makanan melalui Revolusi Perindustrian 4.0, mencari akses pasaran baharu dan menarik minat generasi muda menyertai sektor-sektor pertanian, perikanan dan penternakan.

“Usaha-usaha perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan berfokus untuk mengurangkan import. Langkah-langkah strategik perlu diperkenalkan untuk mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil,” titah baginda semasa Sambutan Maal Hijrah pada 30 Julai 2022.

PERUMAHAN SELESA UNTUK RAKYAT BERPENDAPATAN RENDAH

ISU perumahan antara perkara yang menjadi keutamaan baginda yang merupakan keperluan sangat asas selepas memenuhi keperluan makanan dan pakaian.

Baginda mahu program perumahan rakyat berpendapatan rendah merupakan salah satu program yang dapat membantu mengatasi atau mengurangkan kemiskinan rakyat dan demi kesejahteraan rakyat, menyediakan rumah dan membangunkan projek perumahan yang selesa dan mampu milik merupakan salah satu tanggungjawab utama kerajaan.

“Kerajaan Beta mensasarkan pembinaan 50,000 unit rumah mampu milik antara tahun 2018 sehingga tahun 2023. Alhamdulillah, sasaran ini berjaya dicapai pada tahun 2021. Sebanyak 56,292 unit rumah mampu milik berjaya dibina, 20,820 unit di bawah seliaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak serta agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan sementara 35,472 unit lagi, dibangunkan oleh pihak swasta.

“Pembangunan perumahan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat wajib ditingkatkan. Keupayaan rakyat berpendapatan rendah dan miskin memiliki rumah sendiri, hendaklah dijadikan kayu ukur yang membuktikan sumber negara berjaya diagih kan secara bijaksana, adil lagi saksama,” titah baginda semasa pembukaan Sidang DUN Perak pada 28 Mac 2022.

Baginda amat prihatin terhadap kelestarian alam sekitar sehingga mengingatkan kemajuan tidak seharusnya mengorbankan khazanah alam berharga terutama dalam projek perintis perlombongan NR-REE di atas tanah seluas 213.8 hektar di Hulu Perak.

Baginda mahu pelaksanaan perlombongan bertanggungjawab terhadap perlombongan mineral itu dan mengingatkan kerajaan negeri supaya mengambil pendirian sangat berhati-hati dan tidak akan bersifat gopoh untuk melonjak terlalu cepat, meluluskan lesen melombong NR-REE secara besar-besaran.

Semasa pembukaan Sidang DUN pada 22 Ogos 2022, Sultan Nazrin bertitah mengenai kepentingan mengutamakan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

“Pengalaman kerosakan muka bumi yang ditinggalkan, dan harga yang perlu dibayar oleh negeri dan rakyat pasca aktiviti perlombongan bijih timah, wajib dijadikan sebesar-besar pengajaran. Faktor kesihatan, faktor keselamatan, faktor alam sekitar dan manfaat jangka panjang negeri dan rakyat wajib diutamakan dan tidak boleh dikorbankan”

“Negeri Perak tidak wajar berpuas hati berperanan semata-mata sebagai pengeluar bahan mentah; di sebaliknya pengeluaran bahan mentah hendaklah dilengkapi dengan aktiviti hiliran agar bahan mentah yang dilombong, dilengkapi dengan nilai tambah, yang dapat memberikan pulangan hasil yang lebih bermakna dan membuka peluang kerja aras tinggi kepada rakyat tempatan,” titah baginda.

PERAK SEJAHTERA 2030

TITAH baginda menjadi asas kepada kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negeri tetapi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati hasil pembangunan secara inklusif, dengan fokus kepada kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.

Ini menjadi teras kepada program Perak Sejahtera 2030 yang antaranya mahu menjadikan Perak sebagai negeri yang berdaya saing dan mampan, dengan mengoptimumkan potensi sumber semula jadi dan memajukan sektor-sektor strategik seperti pertanian, pelancongan, dan industri berasaskan teknologi.

Berucap pada Program Temu Mesra Bersama Rakyat di Kuala Kangsar pada Februari lalu, Saarani berkata, Perak Sejahtera 2030 adalah tentang membina masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Perak, tanpa mengira latar belakang dan ke dudukan.

“Kita mahu semua merasai nikmat pembangunan yang kita capai.

“Dari segi pembangunan, seperti Projek Pembangunan Hijau di Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, projek yang kita laksanakan adalah untuk memastikan Perak kekal sebagai negeri yang makmur, dengan peluang ekonomi yang luas dan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan kelestarian alam.

“Kita berusaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini, termasuk dalam bidang teknologi hijau dan digital, bagi memastikan Perak terus berada di hadapan dalam arus transformasi ekonomi global,” katanya.

Sesungguhnya institusi diraja Perak akan kekal sebagai payung kedaulatan negeri yang memberi naungan saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Daulat Tuanku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya