PVD, ancaman tersembunyi bagi penghidap diabetes

PVD, ancaman tersembunyi bagi penghidap diabetes

Penyakit Vaskular Periferi
SALAH satu aspek PVD yang membimbangkan adalah kecenderungannya untuk tidak didiagnosis pada peringkat awal - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah penghidap diabetes yang tinggi serta peningkatan bilangan perokok dalam kalangan belia merupakan dua faktor utama yang menyebabkan kes Penyakit Vaskular Periferi (PVD) semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Pakar Perunding Kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Kumara Gurupparan berkata, salah satu aspek PVD yang membimbangkan adalah kecenderungannya untuk tidak didiagnosis pada peringkat awal. 

Menurutnya, PVD adalah satu kondisi yang bermula dengan gejala ringan bagaimanapun, ia boleh membawa kepada komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera. 

“PVD sangat lazim dalam kalangan penghidap diabetes. Ia berlaku apabila salur darah, misalnya di kawasan kaki terhalang akibat pengumpulan lemak. 

“Dalam kes yang serius, PVD boleh menyebabkan kerosakan tisu, pembentukan ulser dan gangren. Apabila sampai ke tahap ini, pemotongan anggota badan atau amputasi mungkin menjadi satu-satunya pilihan untuk mencegah komplikasi lanjut,” katanya.  

Beliau berkata, PVD mungkin kelihatan seperti masalah luaran, namun ia sebenarnya merupakan tanda kepada masalah salur darah lebih mendalam yang berpunca daripada aliran darah yang tidak lancar.

“Bagi penghidap diabetes, PVD adalah ancaman berterusan kerana kadar gula dalam darah yang tinggi sudah pun menempatkan mereka dalam kelompok berisiko.

“Penyakit ini juga berupaya membuatkan saluran darah menjadi rapuh, mudah cedera dan berisiko tersumbat, seterusnya meningkatkan risiko komplikasi serius. Dalam kes yang teruk, ia boleh menyebabkan pesakit kehilangan anggota badan,” jelasnya.

Dr. Kumara Gurupparan

Menurut Dr. Kumara, di Malaysia, dengan gaya hidup yang tidak sihat dan kadar diabetes yang tinggi, kesedaran mengenai PVD adalah amat penting.

Katanya, faktor gaya hidup seperti merokok, pemakanan yang tidak sihat dan kurangnya aktiviti fizikal berupaya mempercepatkan PVD terutamanya dalam kalangan orang dewasa berusia 40 hingga 50 tahun yang kini lazim didiagnosis dengan diabetes.

“Namun, gejala awal seperti rasa sakit di kawasan punggung, paha atau otot betis selepas berjalan jarak pendek boleh menjadi petunjuk awal PVD. 

“Oleh itu, penting bagi pesakit diabetes agar cakna mengenai tanda-tanda PVD supaya boleh mendapatkan rawatan awal secepat mungkin. Lebih awal PVD didiagnosis, rawatan yang diberikan juga lebih berkesan dan kurang invasif,” katanya. 

Di IJN, pesakit PVD dirawat dengan teknik canggih seperti intervensi periferi, satu prosedur kurang invasif yang menggunakan wayar, stent dan belon untuk membuka saluran darah yang tersumbat, sekali gus memendekkan masa pemulihan.

Meskipun terdapat pelbagai rawatan untuk pesakit PVD, Dr. Kumara menegaskan bahawa pencegahan merupakan pendekatan yang paling efektif. 

Tambahnya, pemeriksaan perubatan secara berkala, pemantauan gula dalam darah, kawalan kolesterol dan memastikan tekanan darah dalam julat sihat merupakan langkah-langkah kritikal untuk mencegah PVD.

“Pesakit diabetes disarankan untuk berjumpa doktor setiap empat hingga enam bulan bagi memantau kadar gula dalam darah. Bagi pesakit hipertensi pula, pemeriksaan tekanan darah secara berkala serta pengambilan ubat seperti yang ditetapkan adalah amat penting.

“Selain itu, bagi mereka yang merokok, berhenti merokok adalah langkah utama jika ingin menghindari PVD. 

“Cara terbaik untuk memperbaiki kesihatan vaskular dan meningkatkan kesihatan diri secara keseluruhan adalah dengan melakukan aktiviti fizikal secara berkala dan mengamalkan pemakanan seimbang,” jelasnya.

Hari Diabetes Sedunia 2024 merupakan waktu yang paling tepat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hubungan antara diabetes dan PVD. 

Ia juga adalah masa terbaik untuk menekankan betapa pentingnya penjagaan kesihatan yang proaktif serta perubahan gaya hidup ke arah yang lebih sihat bagi mencegah kehilangan anggota badan dan meningkatkan kesihatan diri secara keseluruhan.

Bersempena dengan tema Hari Diabetes Sedunia 2024, “Diabetes dan Kesejahteraan”, tumpuan juga diberikan kepada kesihatan holistik pesakit diabetes yang melangkaui pengurusan gula darah semata-mata kepada penjagaan kesihatan vaskular secara menyeluruh.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN