FESTIVAL Xporia Sains 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Sains Negara (PSN), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini bertujuan menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan yang lebih santai dan menghiburkan.
Tema ‘STEMulasikan minda anda’ bertujuan untuk menyemarakkan budaya Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat melalui pendidikan bukan formal dan selari dengan matlamat kerajaan dalam mengukuhkan pembudayaan STI di Malaysia.
Menurut Pengarah Pusat Sains Negara (PSN), Mohammad Fuad Rahman penganjuran festival Xporia Sains kali ke-13 ini menekankan pentingnya pendidikan STEM dalam menghadapi perubahan teknologi padamasa hadapan.
Kata beliau, Xporia Sains 2024 yang telah dianjurkan sejak 2011 itu menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dengan matlamat untuk mencetuskan inspirasi dan minat dalam kalangan murid.
“STEM ini merupakan antara pendidikan yang menerajui perubahan pada masa akan datang contohnya teknologi seperti kecerdasan buatan, robotik, automasi, Internet of Things (IoT), dron, realiti maya dan data raya.
“Kita menyambut baik tema Hari Sains Dunia iaitu, Engage Minds and Empowering Future, dengan memilih ‘STEMulasikan minda anda’ sebagai tema tahun ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Sains Negara.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah PSN, Mohd. Ridhuan Ismail berkata, pendekatan yang dikenali sebagai edutainment itu menggabungkan pendidikan dan hiburan berbeza daripada kaedah pengajaran formal dalam bilik darjah.
Menurutnya, konsep tersebut diharapkan dapat memberi pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan menarik minat generasi muda untuk lebih mendekati bidang sains dan teknologi.
“PSN mengambil peranan sebagai penyampai ilmu sains atau yang tidak terikat dengan kaedah formal. Kami berusaha menyampaikan ilmu melalui aktiviti yang berbentuk hiburan, menjadikannya lebih menarik dan interaktif.
“Pendekatan ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami sains dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan, sekali gus meningkatkan kesedaran dan minat mereka terhadap STEM,” katanya.
Di samping itu, seorang pengunjung festival, Nurashidah Zamzuri, 29, berkata, Xporia Sains ini sangat sesuai untuk kanak-kanak sekolah rendah kerana ia membantu mereka memahami konsep asas sains secara langsung.
Katanya, PSN memberi peluang kepada pelajar untuk belajar melalui sentuhan langsung di pameran visual ini yang menambah kefahaman mereka terhadap sains.
“Budak-budak sekolah rendah ni, kalau cikgu-cikgu bawa mereka ke PSN, ia dapat tarik minat mereka untuk belajar sains. Misalnya, kawasan pameran otak sangat menarik sebab pelajar boleh nampak sendiri bahagian otak, tunjang, dan saraf dengan jelas, sesuatu yang mungkin mereka tidak dapat di sekolah kerana kekurangan peralatan,” jelasnya. – UTUSAN