PETALING JAYA: Taktik sebuah pusat hiburan di Jalan Pasar Baharu Pudu, dekat sini menggunakan pintu belakang premis untuk pelanggan masuk bagi mendapatkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) terbongkar.
Aktiviti itu terbongkar selepas Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menyerbu pusat hiburan itu dalam Op Noda #KLStrikeForce malam tadi.
Modus operandi pusat hiburan itu ialah menutup pintu utama tetapi membuka pintu belakang premis bagi mengaburi pihak berkuasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dalam serbuan pukul 5.40 petang itu polis menahan 29 individu berusia 24 hingga 67 tahun.
Menurut beliau, daripada jumlah itu yang ditahan membabitkan 27 wanita iaitu 16 warga warga Vietnam manakala China (16 orang).
Kata beliau, semua wanita itu disyaki GRO manakala dua lelaki termasuk seorang warga tempatan masing-masing berperanan sebagai penjaga premis dan pekerja.
“Polis merampas pelbagai jenis barang seperti gelang, kipas pelbagai warna yang dijadikan tips dengan masing-masing bernilai RM10 hingga RM150. Turut dirampas peralatan muzik,” kata beliau dengan memberitahu premis itu beroperasi tanpa lesen.
Kata Rusdi, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992.
Tinjauan semasa operasi mendapati, GRO dalam kalangan wanita asing itu sedang leka melayan pelanggan minum selain cuba menggoda pelanggan dengan bayaran tips serendah RM10.
Bagaimanapun, menyedari kehadiran polis, beberapa wanita berkenaan cuba melarikan diri selain menyembunyikan diri di bawah sinki dapur serta ruangan ‘stall’.
Selain itu, salah satu tandas wanita telah diubah suai dengan pintu kecil sebagai laluan bagi memudahkan mereka melarikan diri sekiranya premis digempur pihak berkuasa.
Ketika ditahan, ada antara wanita warga asing ini menangis selain mendakwa berada di premis berkenaan sebagai pengunjung.- UTUSAN