GEORGE TOWN: Beras pertama keluaran Pulau Pinang, beras Cap Feri dijangka dipasarkan selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, ketika ini, operator yang akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk proses pengilangan dan pemasaran telah memulakan operasi mereka.
Selain menggunakan beras tempatan Pulau Pinang, pengeluaran beras Cap Feri itu akan turut menggunakan beras import.
“Produk ini dijangka memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu kumpulan B40 dan akan dipasarkan menerusi Jualan Rahmah serta jualan Agro Madani di seluruh Pulau Pinang.
“Manakala beras import Cap Feri disasarkan kepada peniaga kecil seperti peniaga kantin sekolah, peniaga gerai makanan secara kecil-kecilan dan sebagainya, di mana beras ini akan dijual pada harga yang lebih rendah daripada beras import di pasaran. Bagaimanapun, buat masa ini produk berkenaan hanyalah untuk pasaran Pulau Pinang sahaja,” katanya.
Pada 20 Mac yang lalu, kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju dengan cadangan mengeluarkan beras tempatan berjenama sendiri.
Rentetan itu, Jawatankuasa Pemandu diwujudkan membabitkan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Bahagian Kawal Selia Padi Beras.
Fahmi berkata, pihaknya turut memohon lesen daripada Bahagian Kawal Selia Padi Beras agar operator dapat memasarkan beras dengan kuantiti yang lebih besar.
Beras Cap Feri akan dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN