Pulau Pinang, Kedah paling ramai miskin tegar

Pulau Pinang, Kedah paling ramai miskin tegar

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pulau Pinang dan Kedah memiliki jumlah teramai bilangan isi rumah miskin tegar di negara ini.

Menurut jawapan bertulis dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, Pulau Pinang mencatatkan 1,650 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar membabitkan 4,994 ahli isi rumah (AIR) miskin manakala Kedah merekodkan 1,290 KIR dan 5,303 AIR.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, seramai 7,308 KIR miskin tegar melibatkan 25,144 AIR dengan jumlah keseluruhan 32,452 orang sehingga 31 Oktober lalu.

Katanya, Melayu merupakan kaum paling tinggi KIR miskin tegar dengan 4,523, diikuti bumiputera (1,480), India (717), Cina (485), lain-lain (99) dan empat KIR orang asli.

Beliau menambah, sistem e-Kasih dibangunkan pada 2007 oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sebagai satu pangkalan data kemiskinan nasional, bertujuan untuk mendaftarkan golongan miskin di Malaysia.

Katanya, sistem sama bertujuan mengklasifikasikan kategori golongan miskin di Malaysia sama ada mereka tergolong dalam kalangan miskin tegar dan miskin.

“Data e-Kasih bersifat dinamik dan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan disalurkan kepada agensi pemberi bantuan bagi pelaksanaan program kesejahteraan rakyat. Data yang telah dimasukkan ke dalam Sistem e-Kasih, akan dibuat pemutihan sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

“Sebagaimana Sistem eKasih disepadukan dengan sistem daripada agensi-agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran dan pejabat zakat negeri. Maka ianya akan turut disepadukan dengan Sistem Padu,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) bertanyakan statistik terkini jumlah bilangan isi rumah miskin tegar mengikut negeri dan kategori isi rumah serta pecahan kaum sehingga Oktober 2024 serta sejauh manakah pelarasan dibuat antara sistem Padu dengan pemutihan data e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN