GEORGE TOWN : Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2025 dengan defisit sebanyak RM33.63 juta.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tahun 2025 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang.
“Dengan mengambil kira anggaran hasil negeri sebanyak RM906.59 juta berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM940.22 juta, Belanjawan Tahun 2025 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang, iaitu sebanyak RM33.63 juta.
“Anggaran defisit ini telah mengambil kira kedudukan baki Akaun Hasil Disatukan Negeri pada 1 Januari 2025 yang diunjurkan sekitar RM50 juta,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Untuk rekod, kerajaan negeri Pulau Pinang telah membentangkan bajet defisit sejak 2011.
Menurut Kon Yeow, secara perbandingan, anggaran hasil negeri tahun 2025 menunjukkan peningkatan sebanyak RM373.51 juta atau melebihi 70 peratus berbanding anggaran hasil negeri tahun 2024 sebanyak RM533.08 juta.
“Langkah drastik ini membuktikan iltizam kerajaan negeri untuk melipatgandakan usaha meningkatkan kutipan hasil negeri tahun 2025.
“Menerusi komitmen semua jabatan negeri, kerajaan negeri optimis sasaran kutipan hasil tersebut dapat direalisasikan,” katanya.
Tambah beliau, bagi mengimbangi keperluan perbelanjaan tahun 2025, kerajaan negeri turut memberi fokus terhadap strategi untuk meningkatkan hasil negeri. – UTUSAN