Pulau Bidong diwarta Taman Negeri Terengganu keempat

Pulau Bidong diwarta Taman Negeri Terengganu keempat

PEMANDANGAN Pulau Bidong yang akan diwartakan sebagai Taman Negeri Terengganu yang keempat di Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Pewartaan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri Terengganu yang keempat di negeri ini dijangka selesai Disember ini.

Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd. Arifin Tengku A. Rahman berkata, ketika ini, proses pewartaan pulau bersejarah itu masih berjalan melibatkan pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan pemegang taruh.

“Kami sedang melaksanakan beberapa siri program pembersihan pantai dan dasar laut di pulau berkenaan sebagai persediaan ke arah menjadikan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri.

“Seramai empat orang renjer akan dikerah bertugas sebaik sahaja diwartakan bagi menjaga keselamatan dan nilai estetika pulau berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketika ini, Terengganu mempunyai tiga Taman Negeri iaitu Kenyir, Hulu Terengganu, Tanah Bencah, Setiu dan Pulau Tenggol, Dungun.

Pulau Bidong pernah menjadi pusat penempatan orang hanyut Vietnam (Boat People) selama dua dekad dari Ogos 1978 hingga November 1991.

Sepanjang tempoh berkenaan, 252,390 orang pernah berlindung di pulau tersebut sebelum berpindah ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan Australia.

Proses pewartaan Pulau Bidong meliputi kawasan daratan seluas 231.3 hektar dan laut iaitu satu batu nautika daripada tikas air surut.

Tengku Mohd. Arifin berkata, setakat ini semua urusan berjalan lancar, termasuk perbincangan dengan nelayan dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang memiliki sebahagian kawasan di pulau berkenaan.

“Walaupun diwartakan kelak, kita perlu memberi pertimbangan dari sudut aspek eko pelancongan kerana sebahagiannya akan dibuka kepada pelancong untuk menikmati keindahan alam semulajadi di Pulau Bidong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya