PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memulangkan 172 jam tangan Swatch, termasuk siri Pride Collection yang dirampas tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang tindakan lanjut termasuk mencabar keputusan mahkamah itu akan diteliti terlebih dahulu termasuk mendapatkan laporan penuh keputusan itu.
“Biasanya saya akan diberikan taklimat lengkap asas penghakiman keputusan itu. Tapi reaksi awal saya adalah KDN seperti juga semua pihak apabila satu keputusan mahkamah dibuat, ia perlu dihormati.
“Sebab itu yang mewakili KDN ialah Jabatan Peguam Negara. Jadi, sebab itu kita kena tengok dulu dari sudut asas-asas penghakiman,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kerajaan supaya memulangkan 172 jam tangan Swatch dari siri Pride Collection yang dirampas pegawai KDN tahun lalu kepada syarikat The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd (Swatch Malaysia).
Ketika membacakan keputusannya, Hakim Amarjeet Singh berkata, KDN melanggar undang-undang ketika melakukan rampasan dan mengarahkan kerajaan memulangkan jam tangan itu dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Sebelum ini, pegawai penguat kuasa KDN merampas jam tangan terbabit, termasuk daripada siri ‘Pride Collection’ yang menampilkan jam tangan warna pelangi di kedai Swatch, di sini, antara 13 dan 15 Mei tahun lalu.
Rampasan dibuat di 11 kedai Swatch di sini, Selangor dan Sabah selepas barangan itu dikaitkan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selepas warganet mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rock British, Coldplay terhadap LGBT.
Swatch Malaysia kemudian memfailkan semakan kehakiman pada Ogos 2023 untuk mencabar tindakan kerajaan.
Pembuat jam tangan Switzerland itu mendakwa rampasan terbabit menyalahi undang-undang kerana jam tangan berkenaan tidak ditakrifkan sebagai satu bentuk ‘penerbitan’ di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Bagaimanapun, pada 10 Ogos tahun lalu, kerajaan mewartakan pengharaman mana-mana jam tangan Swatch atau bahan berkaitan termasuk kotak yang mengandungi pengaruh LGBT, di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984. – UTUSAN