Pulangkan bahagian badan harimau mati digilis - Perhilitan - Utusan Malaysia

Pulangkan bahagian badan harimau mati digilis – Perhilitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Mana-mana pihak yang mengambil bahagian tertentu daripada harimau belang yang mati digilis di Kilometer 67.1, di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini hari ini, diminta menyerahkan semula kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tindakan memiliki atau menyimpan apa-apa bahagian hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara maksimum 15 tahun.

“Pemeriksaan pada karkas mamalia itu mendapati terdapat banyak bahagian pada harimau itu yang telah hilang termasuk sebahagian kulit, taring, tulang, kuku dan misai.

“Jadi kita minta, mana-mana individu yang mengambil bahagian tersebut agar menyerahkan semula kepada Jabatan Perhilitan bagi mengelak daripada diambil tindakan.

“Di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Akta 1646, sesiapa yang didapati memiliki apa-apa bahagian daripada Harimau Malaya tanpa kebenaran boleh dikenakan hukuman denda minimum RM15,000 atau maksimum RM1 juta dan penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun,” katanya di sini hari ini.

Tegas Yusof, pihaknya akan bekerjasama dengan polis dalam usaha mengumpul maklumat bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab mengambil bahagian badan harimau tersebut.

Katanya, laporan polis berkaitan kehilangan itu juga telah dibuat pihaknya di Balai Polis Gerik.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta menghubungi polis atau Jabatan Perhilitan bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, seekor harimau belang dewasa ditemukan mati dengan keadaan badan hancur dan kepala terputus selepas dilanggar sebuah lori dalam kejadian selepas Hentian Titiwangsa.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi membabitkan lori yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya