KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam mengakui terkejut apabila isu perceraian dalam kalangan selebriti berlaku secara berturut-turut, sejak kebelakangan ini.
Yusof atau nama lengkapnya Mohd Yusof Md. Haslam, 70, berkata, pujuk memujuk adalah perkara yang amat penting untuk menyelesaikan sesebuah konflik rumah tangga selain bersikap sabar dan tolak ansur.
“Dalam hal rumah tangga perlukan kesabaran, tolak ansur, pujuk memujuk itu penting bagi saya. Jangan anggap pujuk itu sebagai satu kekalahan, salah.
“Rumah tangga saya bertahan juga kerana sifat saya yang suka memujuk. Itu juga yang dipesan oleh ibu saya. Alhamdulillah, sudah bertahan 41 tahun pun.
“Saya bukanlah sempurna, tetapi sebagai orang lama saya terkejut perceraian itu berlaku hari-hari. Semalam, Diana Danielle pula. Bila tahu mereka rujuk sebelum ini saya dan isteri gembira.
“Tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Kita hanya pandang secara rambang,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Don Dukun, di sini, semalam.
Tambah pengarah filem Maria Mariana itu, setiap pasangan suami isteri harus saling memainkan peranan penting untuk menyelesaikan segala perselisihan faham dengan berjaya.
Katanya, kunci utamanya adalah setiap pasangan perlu mengetepikan ego dan tidak bersikap mementingkan diri demi mempertahankan mahligai yang telah dibina bersama.
“Krisis itu perkara biasa. Tidak ada rumah tangga yang tenang. Sebagai ketua rumah tangga dan isteri, dua-dua perlu mainkan peranan. Tak boleh sebelah pihak saja tetapi harus dimulakan oleh pihak suami.
“Jangan anggap kita sempurna. Kalau ada fikiran begitu sampai bila takkan selesai. Tak boleh pentingkan diri. Cari jalan terbaik untuk berdamai. Buang ego. Kalau susah, sama-sama susah. Jangan sebab salah seorang senang baru nak berbaik. Susah senang bersama,” jelasnya.
Yusof turut memberitahu dia sering memujuk isterinya, Datin Patimah Ismail hanya dengan kata-kata yang disifatkan lebih bermakna berbanding pemberian hadiah.
“Saya hanya pujuk dengan kata-kata manis. Saya tak pandai nak bagi bunga ini. Itu pun sekali sekali kalau ada tarikh penting. Pada saya, kata-kata dan perkataan itu yang lebih bermakna. Kalau bagi bunga tapi benda berlaku juga, tiada guna,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof menafikan isu kahwin cerai adalah normal bagi artis Malaysia kerana perkara itu turut berlaku pada orang biasa setiap hari.
“Benda ini bukan artis saja, di luar sana boleh dikatakan hampir setiap hari ada kes bercerai. Tapi artis ini semua orang tahu. Cuma, agak mengejutkan sayalah tahun ini kerana perkara ini berlaku berturut-turut. Itu hanya Allah saja yang tahu,” ujarnya. -UTUSAN