KUALA LUMPUR: Proses bedah siasat mayat wanita yang dibunuh dan disorok dalam peti sejuk beku oleh anak kandungnya di Taman OUG, Kuchai Lama di sini masih diteruskan, namun mengambil masa bagi nyah beku organ dalaman.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pasukan Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan proses bedah siasat.
“Bedah siasat masih belum selesai, Pasukan Patalogi Unit Forensik PPUM mengambil masa untuk membuat penilaian terhadap organ dalaman mangsa.
“Mereka mengambil masa kerana organ dalaman mangsa perlu dinyahbeku ekoran terbeku tiga tahun dalam peti sejuk beku,” katanya mengulas perkembangan terkini siasatan kes bunuh itu di lbu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, hari ini.
Dalam pada itu, Ku Mashariman juga memaklumkan tempoh reman tujuh hari terhadap suspek lelaki berusia 53 tahun yang ditahan dalam kes ini akan tamat esok.
“Polis berkemungkinan besar akan sambung reman ke atas suspek pada Selasa ini selepas direman seminggu sejak 11 November lalu.
“Tahap kesihatan suspek yang sedang dirawat di PPUM masih belum pulih 100 peratus dan pihak doktor perlukan lebih masa untuk membuat penilaian kesihatan suspek termasuk tahap kesihatan mental lelaki itu.
“Setakat ini, seramai lima saksi sudah dipanggil dan dirakam keterangan untuk membantu siasatan dalam kes ini,” katanya.
Menurut laporan akhbar, suspek dikatakan telah menumbuk ibunya warga emas berusia 80-an hingga mati sebelum membalut mayat dengan tuala dan kain kemudian menyimpan dalam peti sejuk beku di rumahnya.
Suspek mendakwa membunuh ibunya tiga tahun lepas iaitu pada 2021 dan dia dipercayai melakukan perbuatan kejam itu kerana mahu ibunya masuk ‘syurga’. – UTUSAN