IPOH: Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan diteruskan dalam pelan lima tahun Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bermula dari tahun 2026 hingga 2030.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, IPR khususnya Inisiatif Usahawan Tani dilihat boleh membantu rakyat untuk menyertai aktiviti pertanian bagi mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.
“Sejak dimulakan pada tahun lalu, IPR sudah mula diterima dan difahami oleh masyarakat serta ada kerajaan negeri tampil menyediakan tanah bagi melaksanakan pertanian berbentuk moden itu.
“Masa awal-awal ada yang perli dan tidak percaya (potensi IPR). Sekarang ini, saya fikir tiada orang yang mempersoalkan yang sebenarnya model ini boleh berjaya. Kita harap lebih banyak kerajaan negeri memberi tanah supaya skalanya lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi libat urus selama sehari di Perak bersama wakil masyarakat serta kerajaan negeri di sini hari ini.
Antara aktiviti penanaman yang dilaksanakan menerusi IPR ialah tanaman cili dan Rafizi melihat usaha itu sebagai usaha untuk mengurangkan kebergantungan import makanan secara berperingkat.
“Ia mungkin tiada kesan yang begitu besar kepada pertumbuhan ekonomi. Tetapi dari segi keterjaminan makanan ia akan ada kesan. Kita tumpu kepada penanaman yang sekarang ini yang kita banyak import yang sebenarnya tidak masuk akal untuk kita import. Cili contohnya.
“IPR lebih ke arah itu selain daripada membantu lebih banyak golongan miskin di kampung-kampung untuk mendapat bantuan dan mempunyai pendapatan,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, menerusi RMK-13 juga buat pertama kalinya akan memberi penekanan kepada isu Malaysia menuju ke arah negara menua dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Menurutnya, beberapa perkara dikenal pasti untuk dilaksanakan termasuk dari aspek undang-undang untuk mewujudkan industri penjagaan di negara ini. – UTUSAN