Projek CSR Perbadanan Kota Buku berteras ESG didik kepentingan alam sekitar

Projek CSR Perbadanan Kota Buku berteras ESG didik kepentingan alam sekitar

WONG Kah Woh (tengah) bergambar besama penaja rakan strategik pada majlis pelancaran Kota Budi di Perbadanan Kota Buku di Cyberjaya baru-baru ini. – utusan/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Dalam usaha melestarikan sektor pendidikan khususnya industri buku, Perbadanan Kota Buku (PKB) melancarkan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) berteraskan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) dikenali sebagai Kota Budi.

Melalui inisiatif ini, program 1 Juta Buku Tulis Menggunakan Bahan Kitar Semula dibekalkan kepada murid B40 menjelang sesi persekolahan tahun 2025.
Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen PKB untuk mendidik generasi muda mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar dan memastikan akses kepada pendidikan berkualiti.

Pada masa sama, ia bertujuan merapatkan jurang akses kepada bahan pendidikan berkualiti, terutamanya bagi pelajar kurang berkemampuan.

Dalam majlis pelancaran program itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menyeru pendekatan inovatif seperti pendigitalan bahan pembelajaran dan penggunaan kertas kitar semula berkualiti tinggi demi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

WONG Kah Woh (kiri) bersama Azman Adnan (kanan) dan Adibah Omar (tengah) menunjukkan buku ESG menggunakan bahan kitar semula pada majlis pelancaran Kota Budi di Perbadanan Kota Buku di Cyberjaya.

Kata beliau, penggunaan kira-kira 24 juta buku teks setiap tahun di sekolah Malaysia mencetuskan kebimbangan terhadap jejak ekologi yang besar dalam industri buku.

“Kita bukan sekadar membentuk landskap industri buku, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk sistem pendidikan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.

“Inisiatif ini menjadikan buku sebagai agen perubahan yang menyumbang kepada masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya dalam ucapan perasmian itu di sini kelmarin.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar serta meraikan rakan-rakan strategik program berkenaan.

Inisiatif Kota Budi menekankan konsep berbudi kepada manusia dan alam bertujuan mentransformasikan peranan industri buku sebagai pemangkin pembangunan mampan, di samping memupuk pendidikan dan amalan tadbir urus yang bertanggungjawab.

Menerusi projek 1 Juta Buku Tulis itu, inisiatif itu berjaya mendapat sumbangan daripada rakan-rakan strategik yang mana setakat ini sejumlah 600,000 buku latihan telah mendapat tajaan dan ia diyakini mampu mencapai sasaran 1 juta buku tulis menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan pada Februari nanti.

Penyaluran dana sumbangan melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) sebagai rakan agensi strategik bagi program ini membolehkan kesemua syarikat yang telah dan akan menyumbang mendapat pengecualian cukai.

Dalam usaha ini, Kah Woh turut memuji inisiatif PKB memperkasakan pendidikan berteraskan teknologi selaras dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD).
Bagi aspek sosial pula, usaha PKB adalah amat baik dalam mendemokrasikan akses kepada bahan bacaan melalui platform digital dan program komuniti.

Menurut Kah Woh, PKB turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memulakan projek Mini Kota Buku untuk pusat sumber terpilih sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan dengan tajaan sebanyak RM85,000.

Usaha ini bagi membantu sekolah- sekolah yang masih ketinggalan dari segi kelengkapan pusat sumber.

Dari aspek tadbir urus pula, komitmen PKB terhadap ketelusan, khususnya melalui penglibatan program seperti Baucar Buku Madani boleh disegani apabila melibatkan kawalan dan keseimbangan yang telus dalam pengagihan buku serta pembayaran kepada penerbit.

Justeru, beliau menyeru agar industri ini memastikan standard etika yang tinggi, pengagihan royalti yang adil, dan perlindungan hak cipta bagi para penulis.
“Penulis tempatan juga perlu mencerminkan identiti budaya Malaysia dan mendapat pengiktirafan di peringkat global,” katanya.

Inisiatif ini selaras dengan prinsip ESG, khususnya dalam menggunakan teknologi untuk memajukan pendidikan mampan serta meningkatkan kesedaran tentang nilai alam sekitar, sosial, dan tadbir urus dalam kalangan pelajar.

PKB adalah sebuah agensi di bawah KPM berperanan penting dalam memajukan industri buku negara, memupuk budaya membaca, dan memperkasakan penulis tempatan untuk bersaing di peringkat global.

Sebagai pusat sehenti bagi ekosistem sastera negara, PKB diberi mandat untuk menyediakan infrastruktur lengkap, dari ruang fizikal ke platform digital, untuk menyokong kerjasama, inovasi, dan pertumbuhan ekonomi buku.

Dengan visi menjadi syarikat buku milik kerajaan paling berdaya saing di Asia Tenggara, PKB bertekad membentuk masyarakat yang lebih berpengetahuan dan mengangkat warisan sastera Malaysia di persada dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN