Produk halal bakal tembusi pasaran Amerika Latin

Produk halal bakal tembusi pasaran Amerika Latin

ANWAR Ibrahim semasa mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra (empat dari kanan) di Dewan Tupac Amaru, Istana Kerajaan Peru, Lima, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berhasrat menubuhkan ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara menembusi pasaran Amerika Latin.

Perkara itu dirintis selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan rasmi ke atas Presi­den Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan di Lima, Peru, semalam.
Pelabuhan Chancay yang terletak 80 kilometer di utara ibu kota Peru bernilai AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion) merupakan satu pelabuhan mega bakal siap dibina tidak lama lagi.

Lokasi itu yang juga digelar ‘pintu gerbang menuju ke be­nua Asia’ dijangka membentuk landskap baharu dalam perdagangan antara Amerika Selatan dengan Asia dengan Peru muncul sebagai hab perkapalan utama di Pa­sifik yang boleh terus mengakses ke pasaran Asia.

Menurut Anwar, Malaysia sedar kepentingan pelabuhan yang baharu dibangunkan itu dan berharap dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di pelabuhan tersebut.

“Malaysia juga membayang­kan menubuhkan ekosistem halal di Peru dengan me­man­faatkan pembangunan Pe­labu­han Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeks­port pro­duk halal negara me­nembusi pasaran Amerika Latin,” kata­nya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Pelan Induk Industri Halal 2030 menjangkakan pasaran halal Malaysia mencecah RM523.3 bilion dan disasarkan menyumbang hampir 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030 di samping bakal mewujudkan 700,000 peluang pekerjaan.

Pada masa ini, industri halal menyumbang kira-kira enam hingga tujuh peratus daripada KDNK negara, dengan anggaran penilaian pasaran RM64 bilion.

Setakat Januari sehingga September ini, jumlah eksport produk halal negara bernilai RM45.04 bilion berbanding RM39.36 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2023.

Terdahulu, Anwar menerima sambutan negara dalam kunju­ngan rasmi ke atas Presiden Peru di Istana Kerajaan di Lima.

Selain itu, Anwar dan Boluarte juga membincangkan peluang kolaborasi ekonomi antara kedua-dua negara selain Kerjasama Selatan-Selatan di sam­ping dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan.

“Kami berdua turut berkongsi aspirasi yang sama dalam soal memerangi rasuah dan memperbaiki tatakelola di negara masing-masing. Saya optimis hubungan Malaysia dan Peru akan berkembang pesat dengan pelbagai kerjasama antara ke­dua-dua negara,” katanya.

Menurut Anwar, beliau turut mempelawa Boluarte dan dele­gasi Peru mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia tahun depan.

Dalam pada itu, Anwar dan Boluarte menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman iaitu antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru.

MoU kedua pula terkait kerjasama pertanian antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Inovasi Pertanian Negara (INIA) manakala MoU ketiga antara Taylor’s University dan Pusat Latihan Pelancongan Peru (CENFOTUR) mengenai kerjasama dalam gastronomi dan hospitaliti.

Dalam sambutan rasmi itu, Anwar menyifatkan penghormatan tertinggi Kerajaan Peru ‘El Sol del Peru’ yang dianugerahkan khusus kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar negeri, menteri negara, duta asing bertauliah atau presiden pihak berkuasa awam sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara.

“Penganugerahan ini juga diharap menjadi permulaan baharu kepada perhubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, syarikat-syarikat Peru menunjukkan minat khusus terhadap keupayaan Malaysia mengeksport produk seperti peralatan dan produk perubatan, bahan binaan berkaitan keluli dan kaca, serta produk-produk barangan pengguna.

Katanya, maklum balas itu diterima dalam mesyuarat meja bulat bersama pemimpin industri dan perniagaan dihadiri 22 wakil daripada 20 organisasi termasuk konglomerat terkenal Peru seperti Grupo Romero, Grupo Armejo Yepez dan Grupo Molicom di samping wakil Pihak Berkuasa Pelabuhan Negara Peru dan Dewan Perniagaan Kebangsaan.

“Mesyuarat ini turut memberikan peluang kepada syarikat-syarikat Peru untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai dasar Malaysia khususnya dalam perkara seperti peralihan tenaga, kelestarian serta pensijilan halal.

“Ia secara aktif membincangkan strategi untuk memanfaatkan Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-pasifik (CPTPP) memandangkan kedua-dua negara merupakan ahli dalam perjanjian ini, serta potensi kerjasama dalam logistik maritim termasuk pengurusan pelabuhan,” katanya.

Anwar kini berada di Lima, Peru bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) APEC 2024.

Dalam persidangan itu, beliau dijangka akan menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi selain memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya