ISKANDAR PUTERI: Sejak diumumkan sebagai Zon Kewangan Khas, disusuli naik taraf status pulau bebas cukai serta pengumuman pakej insentif cukai pejabat keluarga tunggal (single family office), aktiviti di Forest City semakin rancak.
Jumlah penduduk kini melebihi 10 ribu dan kian bertambah. Bilangan pengunjung dengan purata bulanan seramai 730,000 melonjak lebih tinggi pada hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum.
Dalam usaha mengaktifkan serta mempelbagai aktiviti perniagaan dan kewangan, Forest City terus meningkatkan nilai pasaran komersialnya.
Sehubungan itu, pihak syarikat melihat ada keperluan untuk memperluas operasi komersial di dalam Forest City. Rakyat tempatan kini lebih agresif dalam menunjukkan minat terhadap produk Forest City.
Semakin ramai ahli perniagaan tampil bertanya, menyatakan hasrat untuk memulakan perniagaan di sini. Ada antaranya bertanyakan unit-unit kediaman dan ‘subsale’ serta proses dan urusan menyewa.
Pengurus Besar Jenama, Jualan dan Pemasaran Country Garden Malaysia-Singapura, Fang Fang berkata, infrastruktur sedia ada di Forest City sedia memenuhi keperluan pelaburan dan juga perniagaan yang selari dengan pengumuman FCSFZ.
Menurutnya, terdapat tiga cabang perniagaan utama di Forest City iaitu daerah perniagaan teras (melibatkan pusat kewangan fasa 1 dan hab pengangkutan); daerah perniagaan bebas cukai (melibatkan perniagaan-perniagaan di laluan komersial) dan daerah perniagaan berasaskan komuniti (melibatkan perniagaan di kawasan perumahan).
Perancangan tiga cabang perniagaan utama ini saling melengkapi, menambah baik susun atur komersial Forest City dan membentuk ekosistem perniagaan organik.
Daerah perniagaan teras terletak di pusat kewangan Forest City fasa 1 yang menggabungkan pusat beli-belah, ruang pejabat dan kediaman.
Daerah perniagaan bebas cukai yang juga dikenali sebagai ‘commercial street’ menawarkan pengalaman membeli-belah bebas cukai yang unik seiring dengan pembangunan Pulau Bebas Cukai Forest City.
Daerah komersial berasaskan komuniti terletak di blok kediaman komuniti Forest City. Perniagaan yang dijalankan memenuhi keperluan harian penduduk, pengunjung, serta pelancong antaranya, kedai runcit, kedai serbaneka, makanan dan minuman, pusat kecantikan, dan hiburan.
Tambah beliau, rekod jualan amat memberangsangkan bagi unit komersial berasaskan komuniti. Forest City melancarkan jualan unit komersial Regalia Park Ogos lalu dengan 80% unit terjual dalam masa hanya satu jam.
Jualan unit komersial Starview Bay pada Oktober merekodkan jumlah jualan sebanyak 90%. 60% pembeli unit-unit komersial tersebut terdiri dari warganegara Malaysia dan Singapura.
Jualan seterusnya melibatkan unit komersial di Ataraxia Park, kini dibuka untuk pra-tempahan. Unit komersial dengan keluasan 775 sehingga 1916 kaki persegi dengan pajakan boleh memenuhi keperluan perniagaan yang pelbagai.
“Bangunan Pusat Kewangan Forest City Fasa 1 yang turut dikenali sebagai Menara Carnelian adalah sebuah kompleks perniagaan antarabangsa dengan tingkat pertama hingga kelima merupakan ruang komersial. Terdapat 800 ruang pejabat berukuran antara 43 hingga 289 meter persegi dari tingkat 6 hingga 30 dan tingkat 43 hingga 45. Manakala tingkat 31 hingga 42 menempatkan 300 unit kediaman pangsapuri berukuran antara 35 hingga 119 meter persegi,” katanya.
“Dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang tersedia serta insentif menggalakkan seperti pulau bebas cukai dan juga FCSFZ, Forest City menawarkan pengalaman yang unik dalam zon kewangan ini,” katanya.
Sebarang pertanyaan mengenai jualan unit komersial, sila hubungi: Forest City Hotline +607-505 8888