KOTA KINABALU: PKR Sabah dalam proses akhir menentukan bilangan kerusi yang akan ditandingi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri, Datuk Peto Galim berkata, dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), PKR dalam proses akhir untuk memilih kawasan yang berpotensi dan sesuai untuk ditandingi.
Beliau berkata, PH Sabah turut mengadakan perbincangan kali kedua mengenai agihan kerusi pada malam ini.
Sementara itu Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, rundingan kerusi dengan pihak luar akan diputuskan selepas perbincangan dalaman antara komponen PH selesai.
“Kita kenal pasti mana kerusi-kerusi yang berpotensi, selepas itu kita akan bawa ke majlis Perundingan PH bagi mengenal pasti dan berunding kerusi masing-masing..kekuatan masing-masing.
“Selesai itu semua, baru kita akan buka rundingan dengan pihak-pihak lain. Kita memang mengalu-alukan cadangan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Ketua Menteri kita yang mahu ada perundingan berlaku (dengan PH).
“Kita setuju dan mengalu-alukan. Tapi, bagi masa kepada PKR dan PH untuk berbincang sebelum boleh berunding dengan parti-parti lain,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik PKR Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Beliau berkata, dalam menentukan kerjasama di peringkat negeri, pimpinan PKR di peringkat pusat memberi ruang kepada mereka untuk berbincang dan membuat keputusan di peringkat negeri.
Namun, sekiranya berlaku perbalahan mengenai pertindihan kerusi dan ia tidak dapat diputuskan di peringkat negeri maka, pimpinan pusat akan membuat keputusan.
Bagi mana-mana isu yang belum selesai menjelang penamaan calon sama ada satu atau dua kerusi yang bertindih maka, mereka akan mendapatkan nasihat serta bimbingan daripada pimpinan PKR pusat.- UTUSAN