KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sekali lagi memberi bayangan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) boleh diadakan pada bila-bila masa.
Beliau, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) boleh diadakan sebelum atau sehingga tempoh pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus tamat pada Oktober tahun depan.
“Kita mempunyai tempoh sehingga Oktober 2025 untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah bagi memberi laluan kepada PRN17.
“Apa yang pasti kita akan berhadapan dengan pilihan raya. Kita memerlukan mandat baharu daripada rakyat serta sokongan yang signifikan untuk menerajui kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya semasa merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Menurut beliau, PRN17 adalah peluang terbaik untuk mereka memperkukuhkan kedudukan dan kekuatan Gagasan Rakyat dan momentum tersebut akan menjadikan Gagasan Rakyat dan GRS kukuh terpatri dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani.
“Gagasan Rakyat, sebagai sebahagian daripada komponen dalam GRS perlu mula memperkemaskan strategi, menyusun rapi pentadbiran dan pengurusan parti.
“Tiada lagi ruang untuk kita berlengah-lengah atau berpuas hati dengan kedudukan dan pencapaian. Tiada lagi ruang untuk bermegah-megah dengan jawatan dan kedudukan kerana rakyat adalah punca kuasa,” katanya.
Menurutnya, dalam konteks kepartian dan berkerajaan, kestabilan politik itu sangat penting untuk mereka bergerak maju dan mara ke hadapan.
“Tanpa kestabilan dan keamanan, segala yang diinginkan hanya tinggal harapan kosong dan angan-angan.
“Begitu juga kestabilan politik mustahil dapat dicapai jika pemimpin bercakaran. Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat turut diheret untuk bersengketa dan berbalah sesama sendiri,” kata beliau. – UTUSAN