ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) masih mempertimbang sama ada akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang seperti bagi menghadapi PRN Sabah.
Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berhubung perkara itu akan diumumkan pihaknya apabila tiba masa.
“Saya akan buat pengumuman (berhubung kerjasama BN dan PH bagi PRN Johor) apabila tiba masanya,” katanya ringkas selepas menghadiri acara Peringkat Akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.
Terdahulu di Kuching, Sarawak, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengumumkan BN dan PH akan terus bekerjasama pada PRN Sabah akan datang.
Presiden UMNO itu turut memberi jaminan tiada pertindihan kerusi melibatkan kedua-dua gabungan itu akan berlaku dengan logo mengikut parti masing-masing akan digunakan.
“Kenyataan mewakili BN dan PH perlu datang daripada ketua gabungan dan bukannya mana-mana pemimpin parti.
“Selagi ketua parti gabungan tidak membuat kenyataan, lain-lain itu ialah pendirian individu, ia tidak menjadikan hal itu sebagai keputusan parti, sebaliknya hanya pendapat mereka,” katanya selepas menghadiri Taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak, hari ini.
Kerajaan negeri BN ditubuhkan di Johor selepas gabungan tersebut memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada PRN, Mac 2022. – UTUSAN