IPOH: Prestasi kewangan kerajaan negeri Perak terus mengukuh apabila kutipan hasil bagi tahun 2024 setakat 28 November 2024 lalu mencapai hampir RM1.2 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri mencapai kutipan hasil mencecah RM1 bilion seawal Oktober 2024.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras seluruh jentera pentadbiran, Perak bangkit kembali ke landasan kemajuan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri merekodkan momentum pertumbuhan tiga tahun berturut-turut.
“Daripada defisit RM78 juta dan RM6.59 juta pada 2020 dan 2021, kita kembali mencatat surplus untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM29.6 juta pada 2022 dan RM62.4 juta pada 2023, iaitu angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2025 negeri Perak di sini semalam.
Katanya, ekoran prestasi itu, kenyataan Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 3 Tahun 2024 menyatakan Perak merupakan antara lima negeri yang menerima Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023.
Beliau juga berkata, penyata kewangan kerajaan negeri tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan prestasi kutipan hasil yang ketara iaitu RM1.2 bilion dengan peningkatan 10.97 peratus berbanding tahun 2022.
Saarani juga berkata, di sebalik ketidaktentuan persekitaran ekonomi global dan perang geopolitik yang masih mencengkam pasaran komoditi sepanjang 2023, Perak masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus dengan nilai KDNK mencecah RM82.6 bilion.
Jelasnya, sektor Perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar KDNK negeri dengan nilai RM52.3 bilion berbanding RM50.7 bilion pada tahun 2022 iaitu pertambahan RM1.6 bilion.
Tambahnya, merujuk data pelaburan terkini Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah pelaburan yang diluluskan di Perak bagi sektor pembuatan untuk setengah tahun pertama 2024 adalah RM601.49 juta melibatkan 30 buah projek.
“Jika kita menoleh sedikit ke belakang, kita pernah berdepan saat-saat getir dan mencabar
“Pada 2020, kita bukan sahaja merekodkan angka -2.4 peratus bagi pertumbuhan KDNK, malah pernah di ambang krisis dengan defisit RM78 juta,” katanya.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi 2025 yang dianggar RM1.52 bilion dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan mencecah RM1.438 bilion, sekali gus diunjurkan pada kadar defisit RM81.8 juta. – UTUSAN