KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sebelum ini dilihat akan membantu Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) melindungi ahli mereka khususnya wanita dan kanak-kanak.
Yang Dipertua PPPM yang juga isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail berkata, Jabatan Perdana Menteri membentangkan RUU ini bagi menangani isu buli siber serta melindungi rakyat daripada ancaman teknologi dalam masa terdekat.
Kata beliau, sejak tempoh dua tahun lalu, terdapat 10 kes siber buli dipercayai berlaku setiap hari.
“Terdapat 9,483 aduan kes buli siber yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melibatkan 4,878 kes pada wanita dan 4,605 bagi lelaki.
“Sebagai pemimpin kanak-kanak muda, PPPM perlu mengambil inisiatif untuk melindungi mereka daripada ancaman teknologi seperti buli siber dan gangguan seksual,” katanya dalam ucapan pelancaran sambutan ulang tahun ke-108 PPPM dan inisiatif Pengumpulan Dana ‘Girl Guide Cookies’ di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Azizah berkata, PPPM juga perlu memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk melaksanakan program atau sebarang aktiviti pada masa akan datang.
“Bersama-samalah menyokong usaha kerajaan dalam melindungi rakyat Malaysia tanpa diskriminasi, khususnya kanak-kanak,” katanya.
Turut hadir ke majlis, Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh dan Duta Besar Republik Rakyat Cina, Ouyang Yujing.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng berkata, PPPM berazam menjual 22,000 tin ‘Girl Guide Cookies’ kepada semua rakyat Malaysia di seluruh negara melalui 18 cawangannya bagi memastikan kejayaan inisiatif ini.
Jelasnya, ahli Pandu Puteri digalakkan menyimpan wang saku mereka untuk membeli setin ‘Girl Guide Cookies’ dengan harga RM20 dan menderma kepada mereka yang kurang berupaya.
“Agenda kami adalah untuk menjana dana bagi setiap cawangan seterusnya membolehkan mereka menyokong aktiviti dan program mereka sendiri.
“Kami percaya PPPM mempunyai peranan penting untuk membawa elemen positif selain membina semangat masyarakat dengan menyumbang kepada organisasi amal tempatan,” katanya.
Selaras dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, inisiatif Pengumpulan Dana ‘Girl Guide Cookies’ ini dilancarkan sempena ulang tahun ke-108 Persatuan Malaysia (PPPM). – UTUSAN