Pos Malaysia tambah 1,092 motosikal elektrik untuk posmen

Pos Malaysia tambah 1,092 motosikal elektrik untuk posmen

FIONA Liao menerima motosikal elektrik Modenas MEV-1 PRO untuk kegunaan posmen daripada Roslan Roskan pada majlis penyerahan di Kilang Modenas di Gurun, Sungai Petani. - UTUSAN / SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, Pos Malaysia Bhd. terus mengorak langkah untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dengan penambahan 1,092 motosikal elektrik untuk kegunaan posmen.

Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao berkata, usaha itu hasil kerjasama dengan Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) dan DRB-HICOM EZ-Drive (AVIS) yang menunjukkan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan lebih bersih dan hijau.

“Kami sebelum ini sudah memiliki armada kenderaan elektrik (EV) terbesar dalam sektor logistik Malaysia iaitu dengan 220 buah motosikal elektrik dan 143 van elektrik yang telah digunakan di seluruh negara.

“Motosikal dan van elektrik ini secara keseluruhan telah menempuh jarak yang mengagumkan sejauh 2.8 juta kilometer (km) yang bersamaan dengan memandu sebanyak 71 kali mengelilingi bumi

“Jadi dengan penambahan 1,092 motosikal elektrik ini akan membolehkan kami membuat penghantaran dengan lebih selamat dan cekap sambil menyumbang kepada udara yang lebih bersih dan persekitaran yang lebih sihat untuk komuniti,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima motosikal elektrik MEV-1 PRO daripada Modenas di Gurun, hari ini.

Tambah Fiona, Pos Malaysia menggalas tanggungjawab untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan secara aktif berusaha untuk melakukan yang lebih baik sejajar dengan pelancaran Peta Hala Tuju Kelestarian pada Mac 2023.

“Sejak itu, kami telah melaksanakan misi untuk menjadikan operasi kami lebih mesra alam dan lestari, sejajar dengan matlamat iklim negara yang lebih luas,” katanya.

Modenas MEV-1 PRO merupakan motosikal elektrik kedua syarikat itu selepas MEV-1 dengan hanya seberat 80 kilogram (kg) dan mempunyai kuasa 4.9kW dan 165 Nm tork dengan pacuan di bahagian tayar belakang tanpa sebarang talisawat.

Ia mempunyai bateri sebesar 5.4 kWh yang memberikan jarak perjalanan sekitar 95km dengan masa pengecasan AC kosong hingga 100 peratus selama empat jam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, bagi kegunaan Pos Malaysia, MEV-1 PRO direka untuk menampung beban kargo sehingga 150kg dengan berat maksimum yang dapat ditampung bersama posmen adalah 250kg.

Malah katanya, ia mampu mendaki cerun 19 darjah dan turut dilengkapi dengan fungsi undur, tiga mod kelajuan, suspensi belakang tunggal yang membolehkan tayar ditukar dalam masa lima minit serta sistem pemantauan berpusat.

“Motosikal elektrik MEV-1 PRO menggambarkan dedikasi kami terhadap pilihan pengangkutan yang praktikal dan mesra alam untuk sektor perniagaan ke perniagaan (B2B) di Malaysia.

“Kami teruja untuk menyokong perjalanan hijau Pos Malaysia dan tawaran motosikal B2C kami yang akan datang membolehkan lebih ramai pengguna menikmati mobiliti yang mampan dan mampu milik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya