Politik stabil, komitmen awam, swasta faktor kejayaan Kerajaan Madani

Politik stabil, komitmen awam, swasta faktor kejayaan Kerajaan Madani

ANWAR Ibrahim (dua kiri) menyampaikan ucaptama pada sesi townhall sempena Majlis Perasmian Program Dua Tahun MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemakmuran dan kejayaan dikecapi Kerajaan Madani sepanjang dua tahun pentadbirannya disumbangkan oleh kestabilan politik, komitmen sektor awam dan swasta serta dasar negara yang jelas hingga memberi keyakinan kepada pelabur asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu terbukti apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang menunjukkan kesediaan untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam meletakkan Malaysia di persada dunia.

“Satu kenyataan yang harus diingat (kejayaan) dimungkinkan kerana sistem politik yang stabil. Kestabilan itu berkat kerjasama pimpinan negara.

“Banyak anjakan dilakukan dan keberkesanan pelaksandan dasar ini adalah kerana komitmen dan iltizam barisan penjawat awam yang menunjukkan kesediaan mereka melakukan reformasi dan perubahan. Pelaksanaan (program) jauh lebih cekap sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi TownHall sempena majlis perasmian program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Turut hadir pada sesi townhall itu ialah Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar turut memuji komitmen sektor swasta yang memainkan peranan penting dalam membantu melonjakkan nama negara di seantero dunia. 

“Swasta memainkan peranan dalam negara yang sangat kritikal dalam menjayakan (agenda negara). Kemahiran dan kepakaran adalah bidang mereka, kita (kerajaan) hanya menjadi penjana dan pemangkin untuk mempercepat proses,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri memberi komitmen bahawa Kerajaan Madani akan terus menekankan ketelusan dan tekad politik yang kuat dalam memastikan pentadbiran bersih serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan memilih untuk tidak melayan kerenah picisan yang mengkritik pentadbirannya, sedangkan banyak negara luar mengiktiraf kejayaan Malaysia.

“Kita jangan berselindung, kita perlu memberi kenyataan dan saya lihat ini antara kesungguhan Kerajaan Madani untuk membersihkan nama negara.

“Kita mahu menamatkan amalan rasuah dan menggunakan ketegasan kepimpinan termasuk memastikan setiap dana memperoleh kelulusan perolehan melalui prosedur telus. Ini bukan mudah dilakukan dan memerlukan tekad politik yang kuat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani perlu diberikan ruang untuk mengangkat martabat Malaysia supaya ia dikenali sebagai sebuah negara yang gagah dan hebat di seantero dunia.

Beliau melahirkan keyakinan dengan kepimpinan sedia ada, kemampuan penjawat awam dan badan penguatkuasaan bagi membolehkan negara mencapai hasrat itu dan membersihkan amalan rasuah yang disifatkan sistemik sebelum ini.

“Sebab itu pemahaman itu perlu, dengar, teliti, jangan permainkan isu-isu yang mungkin merosakkan, sebab itu saya puji tindakan badan penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tak boleh amalan (yang merugikan negara), membolot kekayaan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya