Pada 7 November lalu Politeknik Port Dickson, diiktiraf sebagai institusi latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) nombor satu Asia Pasifik dengan pengiktirafan Platinum oleh Asia Pacific Accreditation Commission and Certification (APACC).
Pengiktirafan tersebut yang diterima itu mengukuhkan lagi kedudukan institusi berkenaan sebagai pusat teknikal dan vokasional berprestasi tinggi.
Institusi tersebut juga melakar satu lagi pencapaian penting apabila bekerjsama dengan Hino Motors Sales Malaysia Sdn. Bhd. (Hino) Malaysia.
Menerusi kerjasama tersebut syarikat berkenaan menyumbang beberapa perlatan peralatan latihan dengan tertubuhnya Hino Corner di institusi berkenaan.
Inisiatif tersebut merupakan langkah strategik dalam memperkukuh agenda TVET Madani, yang menekankan pembangunan graduan berkemahiran tinggi dan profesionalisme dengan imbuhan gaji progresif.
Majlis itu dihadiri oleh Pengarah Urusan Hino Malaysia, Hiroshi Takahashi dan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Operasi Hino Malaysia, Ahmad Yasmin Yahya serta Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi, Hilmun Mohamed.
Satu majlis menandatangani Letter of Intent antara Politeknik Port Dickson dan Hino Malaysia telah diadakan sebagai bukti komitmen bagi memantapkan kemahiran pelajar dan pensyarah serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan jaminan gaji progresif.
Sebagai simbolik kepada kerjasama ini, HINO (Malaysia) menyerahkan dua unit enjin diesel, satu unit differential axle, dan satu unit kotak gear bernilai lebih RM100,000.
Peralatan tersebut ditempatkan di Hino Corner Bengkel Automotif Politeknik Port Dickson, yang akan menjadi pusat latihan utama untuk memperkasakan pembelajaran pelajar dalam kejuruteraan mekanikal dan automotif.
Melalui sumbangan ini, pelajar berpeluang mengakses teknologi terkini dalam industri, memperkukuh kemahiran dan memastikan kebolehpasaran yang tinggi dengan potensi gaji progresif, selaras dengan aspirasi TVET Madani untuk meningkatkan taraf hidup graduan.
HINO (Malaysia) turut menawarkan program latihan industri melalui Hino Technical Internship Program (HTIP) yang bermula tahun lalu .
Program tersebut menyediakan latihan intensif dan laluan kerjaya bagi pelajar Politeknik Port Dickson, iaitu sebahagian daripada mereka diserap sebagai kakitangan tetap di HINO (Malaysia) dengan gaji progresif.
Langkah tersebut sebahagian daripada komitmen HINO (Malaysia) untuk meningkatkan nilai graduan TVET agar mampu memberi sumbangan besar kepada sektor industri.
Dengan menyokong dasar TVET Madani, HINO (Malaysia) terus berusaha untuk menghasilkan graduan berkualiti yang bukan sahaja berkemahiran dan berdaya saing, tetapi juga diberi peluang untuk meraih pendapatan progresif sesuai dengan sumbangan mereka kepada ekonomi negara. – UTUSAN