PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu laporan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) bagi melengkapkan kertas siasatan kemalangan membabitkan kenderaan orang awam dengan kenderaan anggota polis yang dipercayai sedang mengiring orang kenamaan (VIP) di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan selain menunggu laporan dari Puspakom.
“Semua mereka yang terlibat dalam kemalangan itu sudah dipanggil bagi merakam percakapan.
“Sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan kita akan menghantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan PDRM menjalankan siasatan kes kemalangan membabitkan kenderaan orang awam dengan kenderaan anggota polis yang dipercayai sedang mengiring VIP di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) sehingga tular pada Sabtu lalu.
Yusri dilaporkan berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 16 November di KM 259 Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan membabitkan dua kenderaan berdasarkan laporan diterima.
Sebelum ini, tular di Tiktok sebuah video berdurasi satu minit empat saat yang memaparkan sebuah kenderaan petugas PDRM sedang mengiringi VIP merempuh kereta jenis Proton Saga.
Dalam rakaman itu, memaparkan kereta pengiring berkenaan disyaki memandu laju sewaktu hujan sebelum melanggar bahagian belakang Proton Saga berkenaan. – UTUSAN