KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki untuk siasatan kes pembunuhan ibunya di sebuah kediaman di Taman OUG, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek warga tempatan berusia 53 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis telah menerima maklumat berhubung penemuan seorang mayat wanita pada 8.48 pagi di dalam peti sejuk beku.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita berusia lingkungan 80-an yang dipercayai ‘disimpan’ dalam peti sejuk beku selepas dibunuh pada Mac 2021.
Kejadian itu dikatakan terbongkar selepas suspek iaitu anak mangsa membuat panggilan kecemasan selepas dirinya menghadapi masalah kesihatan kronik.- UTUSAN