PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap kes buli dan dera membabitkan seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa dilakukan seorang penuntut senior.
Siasatan itu dilakukan selepas mangsa berusia 20 tahun membuat laporan polis pada pukul pukul 8.23 malam tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu dan beliau memberitahu siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian dikatakan berlaku pada 22 Oktober lalu pada pukul 11.45 malam di bilik asrama UPNM.
“Pada hari kejadian, pelajar senior yang juga pegawai kadet tahun empat itu telah meminta mangsa untuk menggosok baju kerja miliknya.
“Secara tiba-tiba, pelajar senior berusia 22 tahun itu telah mengambil saterika dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanannya sebanyak satu kali,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, susulan itu, pengadu mengalami kecederaan melecur dan menyebabkan pengadu terkejut dan menjerit.
“Semasa kejadian terdapat beberapa orang senior di dalam bilik tersebut,” jelasnya.
Beliau menambah, rakaman percakapan pengadu telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
“Pengadu juga telah diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan PDRM untuk menyiasat kes buli babit seorang pegawai kadet di UPNM.
Beliau menegaskan, budaya buli di universiti perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.
Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memaklumkan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit.- UTUSAN