GEORGE TOWN : Polis mengesahkan bahawa pelajar perempuan tingkatan dua yang maut akibat terjatuh dari tingkat lapan sebuah bangunan sekolah di Jelutong semalam berpunca daripada kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Punca tersebut diperoleh hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, akibat terjatuh dari tempat tinggi itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher.
Terdahulu katanya, polis menjumpai nota yang dipercayai ditulis oleh pelajar itu yang mengatakan bahawa dia tertekan dalam pelajaran.
“Jadi, tidak ada unsur jenayah dikesan dalam kes ini setakat ini,” ujar beliau.
Dalam pada itu, difahamkan, mayat pelajar perempuan itu telah dituntut oleh ahli keluarganya ketika ini.-UTUSAN