PETALING JAYA : Polis akan merujuk laporan yang dibuat pelakon, Nur Fazura kelmarin, kepada mahkamah untuk tindakan lanjut.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail ketika dihubungi selepas memaklumkan menerima laporan dibuat Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 41, pada 3.45 petang kelmarin di Damansara.
“Kita rujuk kes berkenaan ke mahkamah kerana menjurus untuk saman fitnah,” katanya di sini secara ringkas.
Terdahulu, Fazura telah membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang dimuat naik seorang wanita di Instagram.
Pelakon berkenaan telah memuat naik gambar di Instagram Story berada di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Fazura tidak pula mendedahkan butiran terperinci mengenai fitnah yang dibuat pengguna media sosial berkenaan. – UTUSAN