GEORGE TOWN: Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah dan menahan lima sekawan yang terlibat dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran bahan terlarang itu dalam tiga serbuan serentak di Tanjong Bungah dan sekitar pusat bandar pada 6 November lalu.
Menerusi serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat 25.1 kilogram dianggarkan bernilai RM3 juta.
Difahamkan, kelima-lima suspek merupakan lelaki tempatan berusia 32 tahun sehingga 59 tahun dan mereka berperanan sebagai `ahli kimia’ yang memasak serta memproses dadah, pembantu `ahli kimia’, penyelaras serta rakan sekutu yang membantu penyelaras untuk memasarkan dadah ke sekitar Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, bertindak hasil maklumat risikan, pada 6 November lalu, kira-kira pukul 9.50 malam, polis telah melancarkan tiga serbuan secara serentak di sekitar negeri ini.
Katanya, tiga lelaki tempatan masing-masing berusia 53, 54 dan 32 tahun ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah semi D satu tingkat di Jalan Lembah Permai, Tanjong Bunga yang disyaki dijadikan makmal haram memproses dadah.
“Suspek lelaki berusia 53 dan 54 tahun, berperanan sebagai pembantu kimia yang memproses dadah, manakala suspek lelaki berusia 32 tahun ini bertindak sebagai `ahli kimia’ memproses dadah. Hasil pemeriksaan lanjut polis menjumpai pelbagai jenis dadah disimpan dalam bilik rumah itu.
“Antara dadah yang dirampas ialah pil serta serbuk ekstasi seberat 13.99 kilogram, syabu (6.03 kilogram), ketamin (4.99 kilogram), kesemuanya dianggarkan bernilai RM 3 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurutnya, serbuan kedua dibuat di sebuah pangsapuri di kawasan Ayer Hitam dan suspek keempat iaitu seorang lelaki tempatan berumur 59 tahun ditahan, yang disyaki berperanan sebagai penyelaras sindiket yang memasarkan dadah kepada pelanggan selepas ia siap diproses di makmal haram tersebut.
“Seterusnya, serbuan ketiga dibuat di sebuah kedai di Jalan Yeoh Guan Seok, George Town dan polis menahan suspek kelima berumur 46 tahun disyaki menjadi pembantu serta rakan sekutu kepada suspek keempat,” katanya yang menjelaskan, modus operandi sindiket menjadikan rumah sewa sebagai makmal memproses dan stor penyimpanan dadah.
Katanya, siasatan awal mendapati, kesemua suspek saling mengenali sejak sekian lama serta merupakan rakan sejenayah dengan bekalan dadah diperoleh dari negara jiran di utara tanah air.
“Bayaran yang diperoleh suspek ketiga yang berperanan sebagai ahli kimia ialah sekitar RM10,000 sebulan, manakala coordinator menerima bayaran mengikut jumlah pil atau dadah yang dipasarkan. Kita difahamkan, sebiji pil ekstasi dijual RM0.50 sen dan dalam satu paket ada sekitar 2,000 biji. Jadi, penyelaras akan dapat bayaran RM1,000 bagi satu paket pil dadah yang dia jual,” katanya.
Tambah beliau, ujian saringan ujian air kencing mendapati empat suspek positif dadah manakala seorang lagi negatif dan kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah.
“Polis juga mendapati sindiket di Pulau Pinang ini mempunyai kaitan dengan satu sindiket dadah yang berjaya kita tumpaskan di Kuala Lumpur pada Ogos lalu di mana kita telah rampas dadah erimin 5 dan pil ekstasi bernilai RM21.8 juta,” katanya yang memaklumkan, polis percaya terdapat dalang utama sindiket ini dan saki baki ahli sindiket ini serta ‘mastermind’ kini sedang diburu.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 7 November dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis turut menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM 89,000 antaranya dua buah kereta jenis Toyota Hilux dan Hyundai Accent serta sebuah motosikal. – UTUSAN