PETALING JAYA: Polis akan meminta sambung reman terhadap pengawal keselamatan Pejabat Daerah Samarahan kerana disyaki menyebar surat palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selepas tempoh reman tiga harinya tamat, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mendapatkan sambung reman selama empat hari lagi terhadap suspek berusia 32 tahun.
“Sekiranya permohonan reman tidak diperoleh esok, pihak polis akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk cadangan dan arahan selanjutnya.
“Siasatan diteruskan bagi mendapatkan keterangan saintifik dan forensik untuk menganalisis telefon suspek secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, pengawal keselamatan Pejabat Daerah Samarahan ditahan reman tiga hari berhubung penyebaran surat palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Razarudin dilapor berkata, siasatan mendapati suspek yang bekerja di Pejabat Daerah Samarahan sejak tahun 2018 telah menawarkan pelbagai jenis pekerjaan dengan kerajaan Persekutuan kepada beberapa orang rakan termasuk pengadu pada hujung Oktober.
Beliau dilapor berkata, suspek mengaku membuat tawaran ini namun sebenarnya tidak wujud.
“Suspek juga mengatakan dia membuat tawaran sebegitu kerana ingin perhatian daripada rakan-rakan dengan menganggap dia mempunyai kenalan orang atasan dan boleh membantu mereka,” katanya.
Pada 15 Oktober lalu, seorang lelaki membuat laporan polis selepas menerima surat tawaran kerja daripada suspek yang mendakwa Pegawai Setiausaha Pejabat di pejabat Fadillah.
Mangsa dilapor mengenali suspek pada Julai lalu dan meyakinkan bahawa lelaki itu adalah pengiring rapat kepada TPM. – UTUSAN