MELAKA: Polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk ekstasi lebih 12 kilogram bernilai RM2.28 juta dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Melaka Raya di sini, minggu lalu.
Dalam serbuan pukul 3 pagi itu, polis turut menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 21 dan 37 tahun.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, operasi dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Polis menyita dua kenderaan dan wang tunai RM6,400 serta merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM2,288,704. Rampasan dadah membabitkan serbuk ekstasi dan ketamin, masing-masing seberat 12,920 gram dan 300 gram, pil ekstasi sebanyak 1,307 biji serta 280 biji pil erimin 5.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.35 juta. Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 68,240 orang penagih,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Zainol, sindiket dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini dan ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada individu terbabit positif dadah ketamin dan benzo.
Semua individu yang ditahan bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek direman sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah. – UTUSAN