GERIK: Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan pada tayar sebelah kanan kereta jenis Perodua Axia dinaiki suspek kes curi kabel Telekom Malaysia (TM) selepas pemandunya bertindak agresif cuba melanggar kenderaan pasukan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kenderaan dinaiki empat lelaki itu mula diekori dari kawasan Kampung Padang Kunyit di sini selepas menerima maklumat berhubung aktiviti memotong kabel TM pada pukul 3.40 pagi.
Katanya, pegawai dan anggota daripada Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Gerik yang menaiki Proton Wira dan Unit Kereta Peronda (MPV) Honda City telah mengekori kereta itu sehingga ke Jalan Ulu Kenderong-Tanjung Kala.
“Pihak polis telah mengarahkan suspek untuk memberhentikan kereta namun pemandu kenderaan itu bukan sahaja enggan malah bertindak memecut laju.
“Sebuah kereta polis kemudiannya cuba memintas Perodua Axia tersebut namun suspek yang memandu secara berbahaya cuba melanggar kereta pasukan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sebagai langkah mempertahankan diri, pihak polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kereta dinaiki suspek bagi menghentikannya sebelum tangkapan dibuat ke atas dua lelaki.
Katanya, dua lagi rakan sepenjenayah kumpulan itu bagaimanapun berjaya melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut telah menjumpai satu peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis syabu. Dua suspek berjaya ditangkap kini direman selama tujuh hari hingga Isnin depan.
“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan dua suspek lain. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 307/379 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN