Polis buru suspek samun emas RM1.54 juta - Utusan Malaysia

Polis buru suspek samun emas RM1.54 juta

ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan pada kenderaan milik mangsa yang membawa beg berisi empat kilogram barang kemas dalam kejadian samun di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis sedang memburu beberapa suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun beg mengandungi barang kemas bernilai RM1.54 juta, di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, maklumat kejadian samun bersenjata itu diterima pada pukul 9.30 pagi melibatkan dua mangsa lelaki yang membawa beg berisi barang kemas seberat empat kilogram.

Katanya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa baharu keluar dari sebuah premis perniagaan di lokasi berhampiran dan mahu menyimpan beg berkenaan ke dalam but kereta.

“Sekumpulan lelaki menaiki tiga buah kenderaan telah melanggar bahagian belakang kereta mangsa lalu meluru keluar dan merompak mereka.

“Kesemua suspek yang memakai topeng muka dan bersenjatakan parang itu kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Volvo berwarna putih, BMW berwarna coklat dan Toyota Estima berwarna hitam,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam insiden itu, beberapa saksi awam sempat merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit bagi membantu siasatan polis.

Katanya, siasatan awal mendapati, kumpulan penjenayah itu menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu dan topeng muka bagi mengaburi pengecaman mangsa serta orang awam.

“Pihak forensik sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian bagi mendapatkan bukti dan barang kes berkaitan. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya