SUNGAI PETANI: Polis sedang mengesan empat lelaki warga tempatan disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis membeli hasil sawit di Kampung Perak Sungkup, Bukit Selambau, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada pukul 1.50 tengah hari.
Katanya, berdasarkan siasatan kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda City didapati memasuki kawasan premis tersebut.
“Tiga suspek lelaki bertopeng dan berpakaian serba hitam turun dari kereta dan meluru ke arah beberapa pekerja di hadapan premis itu, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kenderaan.
“Semasa kejadian, suspek menggunakan pistol dan parang. Seorang daripada mereka memecahkan cermin tingkap dan melepaskan tembakan ke arah siling premis sebelum melarikan diri dengan kereta yang sama,” katanya di sini, hari ini.
Wan Azharuddin berkata, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 04-4236999,” katanya.
Terdahulu dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut tular di media sosial sejak semalam. Dalam rakaman pertama, kelihatan kereta Honda City dinaiki suspek memasuki kawasan premis tersebut sebelum tiga suspek bertopeng turun dan menyerbu pekerja premis terbabit.
Rakaman video kedua pula kelihatan seorang pekerja wanita yang berada di dalam pejabat premis itu bergegas melarikan diri sebaik sahaja menyedari kekecohan di luar premis. Tidak lama kemudian, kelihatan seorang pekerja lelaki masuk ke dalam pejabat premis tersebut lalu mengunci pintu dan melarikan diri.
Dalam rakaman sama, suspek bertindak memecahkan cermin tingkap dan melepaskan tembakan ke arah siling premis sebelum melarikan diri dengan kereta yang sama. – UTUSAN