HULU SELANGOR : Seorang anggota polis bantuan yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 408 Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.
Laporan kejadian diterima pihak polis pada pukul 6.02 pagi menerusi kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari Shah Alam menuju rumahnya di Hulu Selangor.
“Ketika kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun dipercayai terbabas sebelum hilang kawalan.
“Kenderaan terbabit kemudiannya melanggar motosikal ditunggang mangsa berumur 51 tahun, mengakibatkan mangsa tercampak di lereng bukit berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya ditemukan di kawasan semak kira-kira 300 meter dari lokasi motosikal miliknya.
“Mangsa ditemukan kira-kira pukul 7.50 pagi tadi dan disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat,” jelasnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN