Polis ambil ekzos motosikal Zaharif seminggu selepas kejadian langgar - Utusan Malaysia

Polis ambil ekzos motosikal Zaharif seminggu selepas kejadian langgar

MOHD. Nazri Abdul Razak di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi perbicaraan kes bunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie yang dihadapinya. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ekzos motosikal yang digunakan Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie ketika dilanggar kereta Perodua Ativa diambil polis, seminggu selepas kejadian.

Menurut saksi pendakwaan ke-14 yang merupakan remaja bawah umur, ekzos jenis NLK buatan Thailand itu disimpan di rumahnya selepas dihantar seorang rakan.

Jelasnya, rakan tersebut memberitahu bahawa pemilik ekzos berkenaan mahu mengambil barang itu di rumah saksi berkenaan.

“Pada hari Jumaat, seminggu selepas Zaharif meninggal dunia, seorang rakan telah hantarkan ekzos itu ke rumah saya. Saya tahu ekzos itu milik seorang rakan lain kerana sebelum ini dia pernah ingin menjual ekzos berkenaan kepada saya.

“Selepas menerima ekzos itu, saya telah meletakkannya di luar rumah di dalam pagar. Pihak polis ada menghubungi saya dan bertanya mengenai ekzos tersebut dan saya mengaku menyimpan barang itu sebelum mereka datang ke rumah untuk mengambilnya,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Selain itu, remaja terbabit juga memberitahu, selepas perlanggaran tersebut, dia ada melihat motosikal yang ditunggang Muhammad Zaharif diletakkan di hadapan sebuah kedai runcit berhampiran restoran milik bapa mangsa pada hari kejadian.

Bagaimanapun katanya, dia tidak sedar sama ada ekzos masih ada atau tidak pada motosikal berkenaan.

“Saya juga tidak tahu siapa yang meletakkan motosikal Zaharif di situ,” katanya.

Sementara itu, pada prosiding sama, seorang lagi saksi kanak-kanak memberitahu dia dan seorang lagi rakan telah menolak motosikal yang ditunggang mangsa selepas dilanggar ke rumahnya.

Menurut saksi pendakwaan ke-15 itu, motosikal milik seorang lagi rakan mereka itu dibawa ke rumahnya kerana dia tahu ekzos yang dipasang pada kenderaan berkenaan bukan kepunyaan mangsa tetapi milik rakan Muhammad Zaharif yang juga kenalannya.

“Apabila sampai rumah saya, saya telah cabut ekzos dari badan motosikal. Saya tinggalkan ekzos itu di rumah dan tunda semula motosikal ke kedai makan milik bapa Zaharif.

“Selama ekzos berada dengan saya, saya tidak usik apa-apa dan hanya letakkan ekzos tersebut di bahagian dinding luar hadapan rumah,” katanya.

Ekzos itu kemudian dihantar ke rumah seorang rakan pada pukul 2 petang, 22 Disember 2023.

Terdahulu, remaja itu memberitahu mahkamah, sebelum kejadian, dia yang berada di sebuah kedai ada mendengar bunyi ‘rem’ (memulas pendikit) motosikal di kawasan kedai dan jalan raya namun tidak mengetahui siapa yang berbuat demikian.

Semalam, saksi pendakwaan ke-13, Zuraida Hassan dalam keterangannya memberitahu dia melihat beberapa pelajar sekolah ‘rem’ motosikal sebelum kejadian Muhammad Zaharif dilanggar kereta Perodua Ativa.

Menurut suri rumah itu, kumpulan pelajar berkenaan juga dilihat berpusing-pusing di kawasan sekitar antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dan Masjid Muhammad Al Fateh.

Mengikut pertuduhan, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, 17.

Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet disambung pada 2 Disember depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya